Sarimah tidak izinkan Sarimah
Enggan hidup peribadinya difilemkan, tetapi mahu hasilkan buku biografi

BIARPUN kelibatnya jarang kelihatan di kaca televisyen dan layar perak, namun tidak dapat dinafikan dirinya masih dirindui oleh peminat. Meskipun bibirnya tidak pernah mengucapkan selamat tinggal pada dunia lakonan namun diakui kemunculannya di TV sudah tidak sekerap dulu lagi.
Kali terakhir muncul adalah sewaktu membintangi drama bersiri, Cinta Madinah. Selepas itu, dia lebih selesa merehatkan diri sambil merawat penyakit barah yang dihidapinya itu.


Mungkin faktor penyakitnya itu membuatkan Datuk Sarimah Ahmad terpaksa melupakan dunia lakonan yang selama ini menjadi darah dagingnya itu.

Namun selepas penyakitnya itu sembuh dan kelihatan semakin bertenaga, apakah ini bermakna seniwati veteran yang berusia 69 tahun ini akan kembali merancakkan dunia lakonan.

“Saya tak mahu kata yang mahu bersara dalam bidang lakonan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Namun, buat masa ini saya memang tidak berhasrat untuk kembali berlakon walaupun mendapat tawaran.

“Melihat kepada corak kerja produksi ketika ini, saya rasa tidak mampu untuk bekerja di dalamnya.
“Kalau dulu sewaktu di Jalan Ampas, pelakon bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Tapi produksi sekarang, bekerja dari jam 8 pagi hingga 8 pagi keesokan harinya. Dengan keadaan kesihatan saya seperti ini serta usia yang semakin meningkat, rasanya tidak berdaya untuk bekerja dalam tempoh yang lama seperti itu. Jadi disebabkan itulah saya terpaksa menolak tawaran berlakon yang datang.

“Selain itu, dalam usia sebegini saya rasa lebih baik saya tumpukan perhatian terhadap amal ibadat serta perniagaan yang baru saya jalankan ini,” katanya pada majlis ramah mesra dan sidang media produk minuman kesihatan Fab’lous keluaran syarikat Fablous Global Sdn Bhd di Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan, Ainuddin Hasim serta Pengarah Pembangunan Perniagaan, Musharuddin Mohd dan beberapa orang artis seperti Siti Nordiana, Boy Iman, Pian Cecupak dan ahli silap mata, Hafiz Osman.

Sebagai seorang primadona, pastinya ramai yang ingin tahu kisah suka duka Sarimah sepanjang bergelar anak seni. Dan perkara itu hanya akan berlaku jika ada pihak yang mahu meriwayatkan kisah hidupnya menerusi sebuah filem.

Bagaimanapun, Sarimah tidak berminat atau mengizinkan sesiapapun membuat filem mengenai dirinya.

“Saya memang tidak akan membenarkan sesiapapun merakamkan kisah hidup saya untuk dijadikan filem. Tapi, saya mempunyai hasrat untuk menulis biografi saya dalam bentuk buku.

“Usaha ke arah itu memang sudah lama cuma saya masih menunggu masa yang sesuai untuk menghasilkannya,” katanya.

Tak anggap diri dipergunakan

BUKAN saja bertindak sebagai jurucakap atau duta kepada produk minuman kesihatan Stem Cell Fab’Lous, tetapi seniwati yang bakatnya mula dikesan menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok ini juga bertindak sebagai Pengerusi Syarikat Fablous Global Sdn Bhd.

Bercerita lanjut mengenai produk itu, Sarimah berkata dia mula mengenali produk berkenaan selepas tercari-cari apakah produk kesihatan sampingan yang harus diambil untuk mengekalkan tahap kesihatannya itu.

“Sebelum bertemu dengan produk ini, saya memang mencari produk yang sesuai untuk merawat penyakit saya. Banyak juga jenis bahan kesihatan yang disyorkan.

“Alhamdulillah selepas dua minggu mencubanya, penyakit saya semakin menunjukkan perubahan dan selepas itu saya jadikan minuman penjagaan kesihatan tambahan ini sebagai amalan dalam menjaga kesihatan saya,” katanya.

Dengan status selebriti dan populariti yang ada padanya, tidakkah dengan pembabitannya itu, Sarimah dijadikan mangsa mempergunakan namanya mahukan keuntungan dengan cara mudah.

“Kalau nak kata saya dieksploitasi, sebelum ini pun saya pernah ditawarkan untuk menjaga sebuah produk kosmetik di peringkat antarabangsa dengan bayaran lumayan sebanyak RM1 juta. Namun, saya tolak kerana tidak pasti akan bahan yang terdapat dalam produk itu. Saya tidak mahu menanggung dosa jika bahan yang digunakan tidak halal.

“Untuk produk ini, selain berkesan, saya juga membuat solat sunat istikharah terlebih dulu sebelum menyatakan persetujuan untuk menggunakan jenama ini,”tegasnya.

Bagi mempromosikan produknya itu, Sarimah akan turun padang menyampaikan ceramah di beberapa lokasi seperti Hotel Emerald Puteri, Sungai Petani, Kedah pada 1 Oktober ini jam 3 petang diikuti Tower Regency Hotel, Ipoh, Perak (8 Oktober, 3 petang), Suria Resort & Hotel, Johor Bharu (15 Oktober, 8.30 malam), Hotel Sri Malaysia, Kuantan, Pahang (22 Oktober, 8.30 malam) dan Sutera Inn, Kota Bharu (29 Oktober, 8.30 malam).