Laman Utama » Sarawak
Sasar 50 peratus WiFi akhir 2011
RAIS (tiga dari kanan) menyerahkan cek kepada Hiew (empat dari kiri) pada majlis di Kota Kinabalu, semalam.
Pelaksanaan babit kampung di Sabah, Sarawak
KOTA KINABALU: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mensasarkan pemasangan 50 peratus jalur lebar tanpa wayar atau 'wireless-fidelity' (WiFi) di Sabah dan Sarawak, menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pelaksanaan kampung jalur lebar tanpa wayar itu membabitkan 580 kampung di Sabah dan 600 kampung di Sarawak.
Katanya, pelaksanaan jalur lebar tanpa wayar sudah dimulakan di kedua-dua negeri berkenaan, yang mana setakat ini sebanyak 62 kampung di Sarawak sudah menerima bekalan perkhidmatan itu.
Di Sabah, beliau berkata, proses pemasangan jalur lebar tanpa wayar sedang dilaksanakan di 40 kampung di negeri ini.
“Setakat ini, pemasangan jalur lebar tanpa wayar di Sarawak sudah mencapai 48 peratus manakala Sabah (40 peratus). Kita juga akan membina lebih banyak menara telekomunikasi di Sabah tahun ini bagi memastikan penembusan jalur lebar lebih berkesan.
“Perancangan melaksanakan lebih banyak menara telekomunikasi ini sudah dimaklumkan kepada kerajaan negeri,” katanya selepas majlis penyerahan cek kepada Persatuan Hakka Sabah, di sini semalam.
Pada majlis itu Rais menyampaikan cek daripada kementeriannya berjumlah RM50,000 kepada Presiden Persatuan Hakka Tuaran, Kapitan Hiew Thien Lai.
Rais berkata, kementerian itu juga akan melancarkan TV i iaitu program siaran berita televisyen, khusus untuk penonton di Sabah dan Sarawak, minggu depan.
Rancangan TV i akan menjadi jendela berita yang akan memaparkan berita wilayah setempat di kedua-dua negeri itu.
Mengenai sumbangan cek itu, Rais berkata pemberian cek itu adalah sebagai bantuan pentadbiran kepada Persatuan Hakka Sabah untuk menjalankan pelbagai kegiatan, termasuk berkaitan budaya dan pendidikan.
“Ini adalah bantuan pertama daripada kementerian kepada Persatuan Hakka di Sabah. Bagi kita, langkah ini adalah baik untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara,” katanya.
Rais turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sabah kerana menganugerahkan beliau pingat Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.