Sasar 700,000 pengunjung
Pameran buku masuki tahun ketujuh turut jemput pengarang luar negara
Kuala Lumpur: Popular Book Co (M) Sdn Bhd menyasarkan 700,000 pengunjung ke BookFest@Malaysia 2012 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula 18 Ogos ini.
Pameran itu akan diadakan di kawasan seluas kira-kira 38,000 meter persegi sehingga 26 Ogos ini.
Pengarah Eksekutifnya, Lim Lee Ngoh, berkata lebih 600 peserta dari China, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Singapura dan Malaysia akan mengambil bahagian.
“Kami akan turut menjemput pengarang dari dalam dan luar negara bagi memeriahkan acara yang sudah masuk tahun ketujuh penganjurannya,” katanya pada sidang media BookFest@Malaysia 2012, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu, yang merasmikan acara berkenaan dan Naib Presiden Kanan Besta, Jeffrey Lau.
Lee Ngoh berkata, majlis penyampaian hadiah bagi Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian bersempena pesta buku itu akan berlangsung di Teater Plenari , Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, 25 Ogos ini.
Antara yang dicalonkan bagi anugerah itu ialah Siti Rosmizah, Aisya Sofea dan Fauziah Ashari bagi kategori fiksyen, manakala Azhar Idrus, Rohidzir Rais dan Ibnu Rijal bagi kategori bukan fiksyen.
“Johan menerima hadiah RM3,000, kedua (RM1,500) dan ketiga (RM1,000). Pengerusi Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Johan Jaaffar, dijangka menyampaikan hadiah kepada pemenang,” katanya.
Sementara itu, Ping Sieu berkata, budaya membaca perlu dipupuk kepada generasi muda menerusi sokongan ibu bapa dengan menyediakan bahan bacaan kepada mereka.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memantau masa diperuntukkan kepada anak untuk membaca pada setiap hari dan pada masa sama memantau bahan bacaan mereka,” katanya.