LAMAN web akhbar Today's Zaman dari Turki di alamat http://www.todayszaman.com/ menyorot perkembangan kesusasteraan Turki selepas kejayaan projek The Turkish Library yang dilaksanakan Yayasan Robert Bosch Stiftung di Jerman sejak 2005.

Projek terjemahan sastera bernilai 1,500,000 Euro itu berjaya menterjemahkan 20 karya pilihan kesusasteraan Turki yang merangkumi novel, antologi cerita rakyat, puisi dan cerita pendek ke dalam bahasa Jerman, bagi memperkenalkan karya sasterawan Turki pada peringkat lebih tinggi.
Antara judul karya yang diterjemahkan ialah House with Wistaria, Lie to Die, Devil Inside U, A Novel of a Scientist, The Loafer Man, A Weird Woman, The City with a Red Cloak, Ayasli and Renters, One Day, Story, A Mind at Peace, Shadowlesses, The Fog and The Night, Forbidden Love dan Tol.

Pengerusi Lembaga Eksekutif Yayasan Robert Bosch Stiftung, Dieter Berg, berkata karya terjemahan sastera Turki itu tidak hanya sekadar mensasarkan pembaca di kalangan masyarakat Jerman meskipun ia diterjemahkan sepenuhnya dalam bahasa Jerman.

Ini kerana karya terjemahan itu turut memberi peluang kepada pelajar Turki yang sedang menuntut di Jerman dan sesiapa yang boleh berbahasa Jerman memahami dan mendalami keunikan budaya dan kesusasteraan Turki.

“Kebanyakan pelajar di Jerman berasal dari Turki, namun tidak pernah membaca karya sastera mereka. Justeru, kami berharap pendekatan ini dapat memupuk minat masyarakat Turki terhadap karya kesusasteraan mereka.

“Selain itu, projek ini juga bertujuan memperkenalkan lebih ramai penulis Turki kepada bangsa Jerman kerana kebanyakan penulis berbakat di Turki masih belum dikenali pada peringkat antarabangsa kecuali beberapa nama besar seperti Yasar Kemal dan Orhan Pamuk,” katanya.
Tidak ketinggalan, laman sesawang terbabit turut memetik kenyataan pengarah projek berkenaan, Bettina Berns yang menyatakan 20 karya terjemahan itu sewajarnya dijadikan bahan pengajaran peringkat sekolah dan universiti, sekali gus rujukan penting kepada pensyarah dan guru sekolah.

“Setakat ini 70 ribu naskhah karya terjemahan sudah diedarkan kepada pelajar sekolah di Jerman. Justeru, saya akan terus menyokong pelaksanaan projek terjemahan seperti ini pada masa hadapan dan juga menyokong projek terjemahan Tarabya Translation Prize yang dilancarkan tahun ini dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Jerman, Turki dan Budaya Jabatan Pelancongan, yang Stiftung Fischer S dan Goethe-Institute.

“Selain itu, saya berharap usaha menterjemahkan karya sastera ini turut menerapkan minat pembaca terhadap karya asli kerana ia penting untuk mendekatkan masyarakat dunia dengan nilai sastera dan budaya tersendiri,” beliau dipetik berkata dalam laman terbabit.