Saya berhasrat untuk terus beraksi cemerlang: Bolt
LONDON: Usain Bolt berhasrat untuk terus beraksi cemerlang selepas pasukan kuartet Jamaica mencapai kemenangan menakjubkan pagi tadi tetapi mengakui dirinya mungkin sudah sampai kemuncak kerjaya pada Sukan Olimpik London.
Raja pecut dunia itu menjadi pelari terakhir pasukan 4x100 meter berjaya mencatat rekod dunia 36.84 saat dan menyamai pencapaian tiga pingat emas ketika beraksi di Beijing pada 2008 dengan persembahan bertenaga pada acara terakhir kempen Olimpik kali ini.
"Bagi saya ia memang bagus kerana dapat menamatkan perlumbaan dengan kejayaan, ia amat bermakna buat diri saya," katanya yang menerima baton daripada Yohan Blake, rakan sepasukan yang kecundang ketika bersaing dalam acara 100 meter dan 200 meter.
"Saya tahu kami boleh melakukannya kerana kami ada keupayaan, kami amat bersemangat, kami bersedia dan kami fokus," katanya. - AFP