Saya tidak perlu minta maaf: Seela

Noraseela (kanan) catat 1 minit 00:16 saat di Stadium Olimpik - jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 56.02s dan catatan terbaiknya musim ini, 59.3s.
Saya tak perlu minta maaf, kata Noraseela Khalid yang mempertahankan dia tidak bersalah gagal dalam acara 400 meter berpagar wanita tempoh hari.
Dia mengikis segala kritikan betapa dia dan seorang lagi wakil negara, Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki) hadir ke London untuk 'makan angin', sebaliknya bersuara sudah memberi persembahan terbaik dengan mencurahkan segala keringat setakat dia mampu.
Sebaliknya, atlit yang layak atas tiket wild-card itu menolak isu kegagalan itu ke arah Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang memilih mereka dan berkata dia bertanding sebagai menyahut cabaran selepas diberi penghormatan ini untuk bersama kontinjen negara pada edisi ke-30 kali ini.
"Isu dan kritikan kami memberi persembahan buruk tidak harus timbul kerana bukan saya minta dipilih tetapi persatuan yang memilih. Ini membuat saya sedih," kata Noraseela semalam.
Apabila diajukan persoalan apakah dia perlu minta maaf kepada rakyat Malaysia, pemegang rekod kebangsaan itu berkata, dia tidak akan berbuat demikian.
"Seperti saya katakan saya sudah memberi persembahan terbaik dan tiada sebab saya kena minta maaf. Apa yang sudah berlaku biarlah dihentikan setakat itu," kata atlit berusia 33 tahun itu yang akur dia sendiri kecewa dengan catatan masanya.
Noraseela mencatat 1 minit 00:16 saat di Stadium Olimpik - jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 56.02s dan catatan terbaiknya musim ini, 59.3s.
Sementara itu, Hup Wei menghujahkan dia gagal menyerlah kerana belum pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan buku lali pada Mac tahun lalu apabila hanya mampu melepasi paras 2.16m berbanding rekod kebangsaannya, 2.27m dan catatan terbaik musim ini, 2.21m.
"Tahap Olimpik tinggi dan saya belum bersedia. Tapi saya sudah buat yang terbaik," katanya yang beraksi dalam Olimpik keduanya. Di Beijing 2008, dia mencatat 2.20m.