Sekolah harian biasa ada kelebihan BH Online

Sekolah harian biasa ada kelebihan

2010/11/22

SAYA tertarik dengan pandangan Dr Illias Zaidi yang tersiar dalam akhbar ini pada 19 November 2010. Saya ingin juga berkongsi pandangan berkaitan dengan sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah harian biasa (SHB).

Pada 2010, seramai 48,327 calon mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sekitar 10 peratus dijangka berpeluang memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Oleh yang demikian, ke manakah haluannya 90 peratus murid 5A. Kalau yang bernasib baik mungkin akan dapat masuk sekolah yang mempunyai kelas rancangan khas yang mungkin ada dibuat di sesetengah negeri. Sekolah rancangan khas ini adalah projek di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang menempatkan pelajar cemerlang UPSR 5A hinggalah kepada yang paling minimum 3A 2B (tertakluk pada perubahan).

Kegagalan anak memasuki SBP ini mungkin agak mengecewakan ibu bapa murid cemerlang 5A. Setelah anak bertungkus-lumus belajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang, tetapi gagal ke SBP. Apakah ibu bapa perlu rasa kecewa jika anak gagal ke SBP? Sebenarnya, ibu bapa/penjaga tidak perlu kecewa. Malah merekalah orang yang perlu tabah dan sabar demi untuk mententeramkan dan menaikkan semangat anak mereka yang mungkin kecewa kerana tidak dapat ke SBP.

Jangan memandang rendah pada SHB. Oleh kerana kita selalu diceritakan dengan keistimewaan SBP hingga kita terlepas pandangan mengenai keistimewaan yang mungkin anak kita peroleh jika mereka berada di SHB.

Untuk makluman ibu bapa yang berasakan anak mereka pintar, selalunya murid-murid yang cemerlang UPSR, tidak kiralah 5A, 4A, 3A, di SHB ini murid cemerlang UPSR akan mendapat perhatian yang lebih kerana kecemerlangan mereka itu.

Murid pintar di sekolah harian biasa boleh dikatakan akan ditatang dengan sebaiknya oleh guru SHB. Mereka diberi seperti menjawat jawatan tertentu, jika berbakat dalam sukan, mereka akan lebih ditonjolkan, jika ada aktiviti kokurikulum atau ko-akademik selalunya mereka lebih berpeluang untuk mewakili sekolah. Pendek kata banyak kelebihan bagi murid cemerlang di SHB.

Kalau disebut kelebihan murid cemerlang akademik di SHB ini, memang banyak. Kalau ditulis mungkin menimbulkan prasangka pula bagi ibu bapa yang anak mereka kurang cemerlang akademik. Dari segi perhatian gurunya, mungkin dari segi peluang mendapat biasiswa. Tambahan pula jika murid ini mempunyai tahap disiplin dan sikap yang baik, maka mungkin lebih keistimewaan yang mereka peroleh.

Cuma satu kekurangan di SHB. Ini sebenarnya tugas ibu bapa. Mereka perlu sentiasa memantau pergerakan anak mereka. Pergi ke mana, berkawan dengan siapa, masa mengajinya, waktu solatnya, semua ibu bapa/penjaga kena ambil tahu.

Kesimpulannya, sama ada anak kita ke SBP atau sekolah harian, masing-masing ada kelebihan yang tersendiri. Guru pakar dan guru cemerlang pun ramai di SHB.

SRIBUAT,
Rompin, Pahang.