Putrajaya: Tindakan kerajaan Selangor mahu menutup dua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipasang di negeri itu mulai hari ini disifatkan sebagai tindakan mencari publisiti murahan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, juga menyifatkan kerajaan negeri itu sebagai tak bertanggungjawab kerana tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya.
Mereka sangat tidak bertanggungjawab, terutama (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor) Ronnie Liu yang mendapat publisiti murahan setiap hari.


Di Selangor, seramai 1,070 orang mati dalam kemalangan jalan raya tahun lalu dan 1,060 pada 2010. Ada Ronnie Liu ucap takziah kepada keluarga mangsa? Dia tidak hirau langsung, katanya semalam.

Cho Ha berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang notis daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri berhubung pemasangan AES.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kelmarin, memutuskan dua kamera AES yang dipasang di negeri itu akan ditutup selama dua minggu mulai hari ini.

Khalid berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Pengangkutan tidak memberi maklum balas terhadap surat dihantar Majlis Perbandaran Sepang (MPS), menuntut kementerian mematuhi prosedur pemasangannya.
Katanya, jika kementerian tidak menghantar permohonan dalam masa 14 hari, kerajaan negeri akan menanggalkan kamera berkenaan.

Di SHAH ALAM, kerajaan Selangor bersedia berdepan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di mahkamah dalam isu pelaksanaan AES.

Ronnie Liu berkata, pemasangan AES melanggar Akta Kerajaan Tempatan serta Akta Parit dan Jalan, kerana dibuat tanpa kebenaran PBT.

Kita anggap kamera ini sebagai binaan haram kerana kontraktor gagal memohon mendapatkan kebenaran arahan pembangunan, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata mana-mana kerajaan negeri termasuk Selangor yang tidak bersetuju pelaksanaan AES, boleh membawanya ke mahkamah.

Ronnie Liu berkata, kamera AES yang dipasang di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Kilometer 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup dengan kain berwarna merah.