Semua pengangkutan awam di NY dihentikan akibat Sandy BERSEDIA... Pengumuman penutupan perkhidmatan pengangkutan awam di Stesen Penn, New York mula dipasang sebagai langkah keselamatan berikutan ketibaan badai Taufan Sandy. - Foto REUTERS
NEW YORK: Semua pengangkutan awam New York seperti kereta api bawah tanah, bas dan kereta api antara wilayah dihentikan lewat malam tadi (waktu tempatan) berikutan ketibaan badai Taufan Sandy, kata pegawai tempatan.

Pihak berkuasa mengarahkan sistem pengangkutan ditangguhkan kerana dikhuatiri berlakunya banjir dan kerosakan angin akibat taufan yang dijangka melanda pantai di timur laut AS, malam ini.
Beribu-ribu jadual penerbangan dari dalam dan ke luar pantai timur lapangan terbang juga dibatalkan dan Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey, yang mengendalikan lima lapangan terbang di wilayah New York berkata, semua penerbangan dijangka dihentikan hari ini.

Penangguhan penerbangan dijangka berlaku sehingga hari ini atau esok dan lapangan terbang turut bakal mengalami gangguan teruk berterusan sehingga Rabu. - AFP