Seni dekor raya
MUSIM perayaan turut menjadi medan suri rumah menguji kepakaran menghias rumah. Namun, persoalannya, apakah tema dan aliran gaya menarik tahun ini? Mengekalkan konsep penataan tahun lalu bukan saja membosankan bahkan menunjukkan tiada ilham segar mampu disajikan bagi menyambut tetamu.

Ramai di antara kita sudah menetapkan sesuatu konsep dan tema hiasan yang diingini. Justeru, menukarkannya kepada tema baru memerlukan perbelanjaan besar bahkan ada perabot dan hiasan berkemungkinan perlu dilupuskan demi menyesuaikannya dengan gaya baru. Andai pembaziran sukar dielakkan, ia seharusnya mampu diselesaikan secara bijak jika penghuni kediaman tahu mengatur gaya bagi disesuaikan dengan sesuatu rekaan. Namun, perlu diingat, elakkan membuat andaian melulu atau terlalu taksub beranggapan sesuatu ruang hanya layak diberikan satu sentuhan serta gaya hiasan saja.
Di sini, beberapa panduan dimulakan dengan pilihan tema serta konsep utama. Ini penting bagi mengelak pertembungan gaya hiasan ketika menzahirkan gaya penataan nanti.


Tema Moden dan Tradisional
Gaya tradisional mewakili rekaan lama mengutarakan ciri tradisi sesuatu kaum atau masyarakat etnik tempatan. Ia juga dikenali sebagai gaya serantau yang dipanggil gaya nusantara. Menerusi gabungan dengan konsep moden, suasana santai penuh keselesaan dapat diadakan kerana konsep tradisional sendiri amat mengambil kira keperluan alam semula jadi serta kesempurnaan bahan. Tema ini mudah diadaptasi dan kebanyakannya membabitkan ilham tema kediaman kawasan perkampungan. Sewajarnya, nilai tradisional dijadikan paksi gabungan elemen moden.

Tema Moden dan Klasik
Hakikatnya, kita bebas menggabungkan sebarang tema hiasan namun jangan sampai menimbulkan sesak serta celaru disebabkan banyak sangat adunan tema dalam rumah khasnya di ruang berkonsep terbuka. Ilham moden cenderung memaparkan gaya terkini serta ringkas (clean cut and minimal) bersama sisipan warna terang dan garang. Tema klasik pula diilhamkan daripada seni bina Greek dan Rom lama yang menampilkan konsep keseimbangan, berskala dan dekoratif penuh berseni. Menerusi adunan dua tema dalam satu ruang, setidak-tidaknya kesuraman hiasan dapat dielakkan.

Tema Timur dan Barat Sesetengah orang memuatkan perabot dan perhiasan berciri ketimuran bagi keseluruhan gaya penataan, konon bagi memberi gambaran mereka pendukung utama gaya hiasan timur. Maka, saratlah ruang dengan meja serta kerusi berukiran penuh juga perhiasan tembikar sekali gus menjadikan ruang sempit bertambah sendat. Konsep hiasan timur dan barat sebenarnya gabungan konsep terbaik jika ia ditata hias sempurna. Ciri ketimuran yang melambangkan nilai jati diri seharusnya dikekalkan manakala konsep barat boleh diaplikasi menerusi pemilihan bahan, peralatan dan pembinaan struktur bangunan.

Tema Moden dan Kedesaan Inggeris
Ia menjadi tema pilihan kebanyakan kediaman hari ini. Ia juga sudah menjadi dominan namun apabila ditetapkan ruang utama khasnya ruang tamu dengan gaya desa Inggeris, maka jangan campur adukkan gaya itu dengan ilham penataan lain. Bermula dengan pilihan fabrik langsir, sarung sofa hingga reka bentuk perabot, semuanya perlu bercirikan gaya berkenaan. Maka, setiap perhiasan diutarakan perlu dipastikan ada kaitan dengan gaya itu dan jika gagal, dikhuatiri keseluruhan tema hiasan di ruang tamu dilihat janggal selain hilang seninya. Begitupun, gaya berkenaan boleh digabungkan dengan konsep moden melalui pilihan perabot moden bercirikan art deco berteraskan pilihan warna terkini. Namun, ia perlu ditangani secara bijak kerana konsep kedesaan Inggeris diakui dominan.