Kuala Lumpur: Seramai 16 seniman jalanan sekitar Bukit Bintang terjejas sumber pendapatan selepas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merampas peralatan melukis mereka dalam operasi halangan, Khamis lalu.

Selain merampas peralatan melukis, seniman berkenaan turut diberi amaran secara lisan supaya tidak menjalankan lagi perkhidmatan melukis potret di kaki lima bank.
Imej seniman tercalar
Kejadian sekitar jam 1 pagi itu membuatkan pelancong yang sedang dilakar potretnya terpinga-pinga apabila penguat kuasa merampas peralatan lukisan saya termasuk potret yang sedang dilakar dengan kasar," Amirul Mukminin, Seniman jalanan

Lebih malang, potret yang siap dilukis dan ditempah pelancong turut dirampas menyebabkan nama baik seniman di situ ‘tercalar’ berikutan tidak dapat memberikan lukisan yang ditempah pelanggan sedangkan wang pendahuluan sudah diambil sebelum ini.

Amirul Mukminin, 39, berkata beliau kesal dengan kejadian rampasan yang dilakukan ketika beliau sedang melakar potret seorang pelancong Arab.
“Kejadian sekitar jam 1 pagi itu membuatkan pelancong yang sedang dilakar potretnya terpinga-pinga apabila penguat kuasa merampas peralatan lukisan saya termasuk potret yang sedang dilakar dengan kasar,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Penguatkuasaan diarah berhenti
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib, berkata arahan sudah dikeluarkan supaya penguat kuasa menghentikan tindakan ke atas seniman jalanan sekitar Bukit Bintang.

“Seniman boleh meneruskan kegiatan mereka di situ asalkan tidak mengganggu laluan. Sementara itu, perbincangan akan dibuat selewat-lewatnya minggu depan untuk menentukan kawasan dan masa sesuai bagi mereka menjalankan kegiatan berkenaan.

“DBKL mengiktiraf seniman jalanan kerana sememangnya diakui mereka turut menyumbang kepada industri pelancongan di tengah bandar raya. DBKL akan membuat uji bakat di kalangan seniman untuk menentukan kelayakan mereka bergiat di kawasan ditetapkan kelak,” katanya ketika dihubungi, semalam.