Seni songket tenun Pahang
Sediakan kursus latihan kemahiran untuk kekalkan warisan budaya tidak ditelan zaman

Malaysia kaya dengan warisan seni tenun dan hampir setiap negeri mempunyai corak, keunikan dan kehalusan tersendiri bagi menjadi lambang kreativiti penenun.

Songket tenun Pahang umpama yang dipercayai berkembang sejak 1838 mencatat sejarah. Dari setahun ke setahun ia berkembang menjadi persalinan bukan saja pada awalnya oleh kerabat diraja dan golongan bangsawan, malah kini ia semakin sinonim di sarung sebagai pakaian khususnya dalam majlis rasmi, keraian dan perkahwinan.
Dengan kehalusannya itu juga mampu memikat peminat songket tenun untuk memilikinya. Kini ia dikomersialkan dan mendapat tempat di pasaran dalam dan luar negara.

Namun kemahiran menenun songket itu bukan sebarang orang boleh melakukan kerana memerlukan kemahiran, kreativiti, ketelitian dan semangat tinggi. Bagi golongan muda pastinya bukanlah satu keperluan untuk mereka menceburi bidang sebegini.

Namun, atas keprihatinan untuk mengkomersilkan produk itu dan tidak mahu ditelan zaman, usaha dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), dengan di Pusat Kecemerlangan Tunku Azizah, Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja (KPTPD), Kampung Kempadang, Kuantan dan Kraftangan Malaysia melalui penubuhan Institut Kemahiran Tenun Pahang (IKTP), Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang.

Kursus seni tenun

Tenaga Pengajar di KPTPD, Zila Md Saud, 39, produk kraftangan tenun Pahang memiliki keunikan tersendiri dan proses penghasilannya rumit, berbanding hasil kraftangan lain memberikan kelebihan kepada mereka yang mahir.
"Bagi memastikan songket tenun Pahang ini kekal terpelihara, PKNP melalui KPTPD menawarkan kursus jangka pendek kepada mereka yang berminat mempelajari seni tenun Pahang ini. Kursus disediakan antara enam bulan hingga setahun. Latihan berkonsepkan belajar sambil bekerja, maknanya pelatih akan terima sedikit elaun.

"Selepas mereka menamatkan latihan, pelajar diberi kebebasan, sama ada ingin terus bekerja di sini atau bekerja di rumah sendiri. Mereka memilih meneruskan kerja menenun di rumah, KPTPD akan memberikan bantuan pinjaman peralatan kepada mereka,” katanya.

Berbeza dengan KPTPD, IKTP di bawah kendalian Adiguru tenun Pahang, Nortipah Abdul Kadir, pula menawarkan pengajian di peringkat Sijil Seni Kraf Tenun Pahang Diraja selama dua tahun dan dikendalikan sepenuhnya Kraftangan Malaysia.

Bertujuan membangunkan generasi pelapis bagi mempertahankan warisan itu, pelajar akan didedahkan sepenuhnya proses penghasilan songket Tenun Pahang bermula daripada pemilihan jenis benang kepada penghasilan motif seni tenunan.

Kepelbagaian produk tenunan

Zila berkata, kebanyakan benang digunakan adalah benang sutera dari China melalui pembekal dilantik.

“Benang sutera ini banyak digunakan untuk hasilkan pakaian seperti baju kemeja, kurung, kain samping, manakala benang kapas pula gunakan untuk menghasilkan barangan cenderahati, seperti pelapik meja, sarung kusyen, sapu tangan.

“Pada awalnya penenun menggunakan bahan semula jadi untuk mewarna benang seperti biru daripada daun terung dan kuning daripada kunyit, tetapi sesuai dengan peredaran masa, digunakan pewarna bersesuaian yang dapat memastikan kualiti songket tenun itu dikekalkan," katanya.

Bagi ‘mematikan’ warna pula, Zila berkata, mereka masih menggunakan kaedah tradisional, menggunakan perahan buah belimbing.

Kain Tenun Pahang melalui sembilan proses bermula dengan mewarna benang, menerai, menganin, mengatur corak, menyusuk, menggulung, menghubung, meneguh dan menenun.

Untuk mendapatkan songket tenun Pahang berkualiti tinggi, penenun yang mahir memerlukan masa antara sebulan hingga tiga bulan dan ia dijual pada harga RM300 hingga RM5,000 setiap meter.

Walaupun terdapat pelbagai jenis fabrik moden di pasaran, kain tenun diraja Pahang masih kekal dalam kedudukan tersendiri. Ini kerana selain fabrik songket dan batik, kain tenun adalah khazanah negara yang tidak ternilai kerana menjadi lambang keagungan budaya Melayu yang penuh dengan ciri kesopanan dan kesantunannya.


INFO:
Kain tenun Pahang


  • Kain tenun Pahang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi dan dibawa masuk ke negeri ini sekitar abad ke-16.

  • Mengikut catatan sejarah, sekitar 1,722 orang besar Bugis diketuai Tok Tuan atau Keraing Aji berkunjung dan menetap di Kampung Mengkasar, Pekan.

  • Beliau dikatakan bertanggungjawab memperbaiki cara menenun kain sutera tempatan ketika itu dan dikenali songket tenun Pahang.

  • Songket tenun Pahang berkualiti tinggi

  • Harga RM300 hingga RM5,000 setiap meter.

  • PKNP melalui KPTPD menawarkan kursus jangka pendek seni tenun Pahang.

  • Kursus enam bulan hingga 12 bulan.

  • Sediakan latihan berkonsepkan belajar sambil bekerja.