KUALA KANGSAR: Seorang wanita terbunuh manakala tiga lagi parah apabila sebuah kereta bertembung dengan sebuah van di KM 27, Jalan Kuala Kangsar-Manong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian jam 9 pagi itu ialah penumpang kereta Arbainah Jamaim, 68, berasal dari Taman Ria, Simpang.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Abdul Ghaffar berkata, mangsa yang cedera parah ialah pemandu kereta Che Jamiyah Omar, 53 juga dari Simpang, pemandu van Ting Sing Keuw, 51 dan adik perempuannya Ding Sing Kwan, 45 yang berasal dari Ayer Tawar, Sitiawan.

Katanya, mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Abdul Ghaffar berkata, kejadian berlaku ketika kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu Jamiyah dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Beruas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan van yang dipandu Ting. - Bernama