SETIAP kali tibanya hari mengundi, teringat sebuah lagu Mari Mengundi bagi mengajak pengundi yang sudah berdaftar untuk keluar beramai-ramai memilih wakil rakyat masing-masing yang sering dimainkan di corong radio dan televisyen pada musim pilihan raya umum.
Antara lirik yang sentiasa melekat dalam hati hingga sekarang ini ialah Marilah mari pergi mengundi, tunaikan kewajipan, pada negara.
Lagu itu turut kedengaran pada pilihan raya kecil ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, di Pahang, tetapi mediumnya saja berbeza.
Perubahan masa dan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin canggih, menyebabkan mesej sedemikian mudah diterjemahkan dalam pelbagai pendekatan termasuk menerusi laman sosial, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbit untuk mengingatkan pentingnya pengundi keluar mengundi.
Malah, Jabatan Penerangan turut memutarkan lagu itu dan mengingatkan pengundi supaya keluar mengundi menerusi pembesar suara dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda mengelilingi seluruh kawasan DUN Kerdau, sejak beberapa hari lalu.
Kepada 8,999 pengundi di DUN Kerdau yang keluar mengundi hari ini, setiap undi mereka amat berharga kepada calon yang bertanding sama ada mewakili Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.
Daripada jumlah itu, 7,988 pengundi adalah orang Melayu, Cina (454), India (298) dan lain-lain kaum (259) berada di 13 daerah mengundi dan akan melaksanakan tanggungjawab di 22 saluran yang sudah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Justeru, tempoh lapan hari berkempen amat kritikal bagi parti yang bertanding kerana perlu menyediakan strategi ampuh dan menyeluruh bagi memikat serta memenangi hati pengundi supaya memilih calon masing-masing, sekali gus dapat menduduki kerusi DUN berkenaan yang kosong kerana kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, akibat penyakit jantung, bulan lalu.
Mungkin disebabkan ia dilakukan serentak dengan DUN Merlimau, Melaka atau kaedah dan strategi kedua-dua parti bertanding mengambil pendekatan berbeza untuk kempen mendekati pengundi berbanding sebelum ini kerana mengakui penduduk di DUN Kerdau sudah matang dan berfikiran jauh.
Sepanjang lapan hari kempen pilihan raya berlangsung, jarang kedengaran ceramah umum di kawasan lapang atau tempat terbuka dibuat termasuk dihadiri penceramah luar yang dijemput dua parti yang bertanding, BN dan PAS.
Berbeza dengan situasi pilihan raya kecil pada tahun sebelum ini, setiap malam ada saja risalah diedarkan memaklumkan ceramah pilihan raya oleh individu terkenal dengan tujuan bukan saja memperkenalkan calon masing-masing, malah juga menjelaskan manifesto perjuangan dan apa yang boleh dilakukan jika mengundi calon masing-masing.
Mungkin strategi itu sudah kurang sesuai pada masa ini, menyebabkan kaedah sedemikian semakin kurang diadakan, sebaliknya kempen dari rumah ke rumah untuk mendekati pengundi mengambil tempat bagi memenangi kerusi yang dipertandingkan.
Masalah berkempen tetap berlaku di DUN Kerdau, tetapi kecekapan pelbagai pihak, terutama SPR dan polis yang menempatkan ribuan anggotanya membolehkan suasana berkempen tidak dicemari insiden buruk yang boleh menjejaskan imej dan reputasi SPR dan negara.
Ketibaan hari mengundi pula sememangnya merunsingkan calon yang bertanding kerana untung nasib mereka kini bergantung kepada pengundi di DUN berkenaan.
Wakil rakyat baru yang dipilih nanti perlu memikul amanah dan tanggungjawab pengundinya yang sentiasa menagih harapan untuk menyelesaikan masalah masing-masing.
Harapan pengundi kepada wakil rakyat ialah usaha menyelesaikan masalah keperluan asas mereka supaya dapat menjalani kehidupan lebih selesa, meluluskan permohonan dan bantuan untuk meringankan beban pendapatan.
Selain itu, mereka juga mahu melihat berlaku pembangunan yang boleh memberi limpahan kemakmuran kepada mereka terutama generasi muda setempat seperti peluang pekerjaan.
Seorang petugas pilihan raya yang ditemui berkata: "Pandai-pandailah kamu mengundi... jangan silap mengundi dan yang penting kewajipan harus ditunaikan, jangan buat tak kisah. Pilihlah yang kamu rasa boleh beri kemajuan kawasan kamu... dan ingat undi anda rahsia."