Siasat pendedahan tender LRTOleh Safeek Affendy Razalibhnews@bharian.com.my 2012/07/05 Bukit Aman tubuh pasukan khas berhubung dokumen sulit kerajaan
Kuala Lumpur: Bukit Aman menubuhkan pasukan khas menyiasat pendedahan dokumen sulit kerajaan berhubung tender kontrak projek sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang. Laporan rahsia kerajaan itu didakwa diserahkan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang kemudian mendedahkannya kepada umum menerusi laman web tempatan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata pihaknya menerima laporan pendedahan dokumen sulit berkenaan kelmarin oleh Kementerian Kewangan dan akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Rahsia Rasmi. “Dokumen ini dikelaskan sebagai rahsia kerajaan dan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memberikannya kepada mereka yang tidak berkenaan boleh menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara. “Sehingga kini kita menyiasat dari semua sudut bagaimana dokumen berkenaan boleh berada di tangan pihak tidak berkenaan termasuk memanggil individu daripada PKR yang mendedahkan dokumen ini kepada umum,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam. Bakri berkata, ekoran laporan itu satu pasukan khas diketuai timbalannya Datuk Hadi Ho Abdullah, akan menyiasat sama ada dokumen itu didedahkan orang dalam. Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 (1)(i) Akta Rahsia Rasmi dan mereka disabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kelmarin, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, mendedahkan maklumat projek sambungan LRT di Ampang berkemungkinan membabitkan kos tinggi sekiranya diteruskan pada sidang media propembangkang. Namun apa yang menjadi tanda tanya, bagaimana Rafizi memperoleh maklumat sulit berhubung projek berkenaan yang berada dalam simpanan agensi kerajaan. Sementara itu, Bakri berkata, JSJ akan meletakkan gred atau penanda aras terhadap tahap keselamatan semua pusat beli-belah berikutan kejadian samun mesin ATM, kebelakangan ini. “Langkah ini perlu bagi beri keyakinan kepada orang ramai terhadap keselamatan mereka di pusat beli-belah. “Saya yakin pengurusan pusat beli-belah akan bersaing bagi memastikan tahap dan kawalan keselamatan di premis mereka berada pada tahap terbaik sekali gus memberi keyakinan kepada pengunjung,” katanya. |