MESYUARAT ketiga, penggal keempat Parlimen yang akan bermula 3 Oktober ini menjanjikan pelbagai isu dan peristiwa menarik berikutan ia bukan saja mungkin menjadi medan perdebatan terakhir semua parti dan Ahli Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, bahkan ia amat penting kerana beberapa akta dan rang undang-undang dibentang atau dimansuhkan.
Rakyat juga akan memberi perhatian lebih serius pada sidang kali ini berikutan ia adalah sidang yang akan membentangkan Belanjawan Negara 2012 dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan pelbagai peruntukan, insentif dan mungkin bonus kepada kakitangan kerajaan.
Dengan ramalan PRU-13 tidak lama lagi, Dewan Negara yang akan bersidang di bangunan baru berikutan bangunan utama menjalani kerja pengubahsuaian, dijangka menjadi tumpuan ahli dan pelobi politik terutama mereka yang berangan mahu menjadi calon.
Apapun senario yang bakal berlaku terutama dalam kepanasan menunggu PRU-13, Dewan Rakyat akan terus bersidang mengikut aturan dan peruntukan bahawa tempoh akhir PRU-12 hanya pada April 2012.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, yang juga bertanggungjawab menjaga hal ehwal perjalanan Parlimen, menegaskan tugasnya ialah memastikan sidang berlangsung mengikut tertib dan sebarang pembentangan rang undang-undang atau pemansuhan akta dilakukan mengikut prosedur tanpa tunduk kepada sebarang tekanan.
“Hak untuk memanggil pilihan raya umum adalah hak Perdana Menteri, kerana itu kita tidak boleh dan tidak akan melakukan kerja berdasarkan spekulasi. Saya cuma memberi tempoh enam bulan bagi sebarang pembentangan rang undang-undang atau pemansuhan akta berdasarkan kepada tempoh Parlimen penggal ke-12 ini akan berakhir pada April 2012,” katanya.
Justeru, selain pembentangan dan perdebatan membabitkan Belanjawan Negara 2012, perhatian juga akan tertumpu kepada janji kerajaan BN meminda atau memansuhkan beberapa akta penting seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat, akta membabitkan perintah sekatan atau buang daerah, Akta Percetakan dan Penerbitan.
“Semua akta yang disebut Perdana Menteri seperti Ordinan Darurat dan Akta Buang Daerah, dijangka boleh dilakukan sebelum sidang ini berakhir kerana ia memang tidak lagi relevan dengan Malaysia hari ini.
“Begitu juga dengan pindaan membabit pemberian lesen kepada media massa yang termaktub dalam Akta Percetakan dan Penerbitan, kita menjangka ia dapat diselesaikan segera.
“Cuma pemansuhan ISA memerlukan tempoh lebih lama, kerana kita perlu ada pengganti kepada akta ini. Apa yang perlu ditegaskan ialah kenyataan Perdana Menteri ialah pernyataan dasar yang akan ditunaikan kerajaan BN...ISA tetap akan dimansuhkan cuma kita kena kaji dengan teliti akta yang boleh menggantikannya,” kata Nazri.
Ketika ramai sinis dengan keseriusan BN untuk meminda akta ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat kejutan besar apabila mengumumkan akta itu akan dimansuhkan pada Hari Malaysia, 16 September lalu.
Bagaimanapun, semua pihak perlu akur dalam janji Najib itu tidak akan ada tahanan politik jika ia sekadar membabitkan perbezaan ideologi politik. Untuk itu Parlimen perlu menggubal undang-undang baru bagi kesalahan lain terutama membabitkan jenayah keganasan.
Apa yang jelas, kerajaan BN yang diketuai Najib sudah bekerja keras untuk melaksana tugas bagi menunaikan semua janji ke arah transformasi ekonomi, sosial dan politik negara ini.
Banyak transformasi yang diumumkan memberi persepsi seolah-olah kerajaan BN tunduk kepada desakan pembangkang tetapi hakikatnya ini adalah janji Najib sejak beliau mula mengambil alih pentadbiran negara dua tahun lalu - melakukan transformasi pada semua peringkat baik dalam pentadbiran, ekonomi, sosial mahu pun politik.
Dengan andaian PRU 13 diadakan sebelum Penggal Kelima Parlimen bersidang Mac depan, Najib sudah mengotakan janjinya untuk mengembalikan kerajaan BN ke landasan perjuangan berpaksikan kebajikan rakyat.
Slogan pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan bukan sekadar retorik!
“Oleh kerana itu kita tidak boleh memansuhkan ISA serta-merta, perlu ada akta baru kerana kita tidak boleh membebaskan mereka yang ditahan di bawah jenayah keganasan kerana implikasinya amat besar... bukan saja bagi keselamatan negara bahkan komuniti antarabangsa.
“Ketika ini kita masih tidak ada nama bagi akta baru ini, Pejabat Peguam Negara perlu membuat kajian dan memberi cadangan termasuk adakah perlu kita mendapat cadangan dan input rakyat.
“Saya menjangka akta baru ini hanya boleh dibentang pada sidang Mac depan. Sekiranya, berlaku pilihan raya dalam tempoh itu ia akan disambung selepas PRU,” katanya.
Sidang minggu depan dijangka bermula dengan perbahasan panas membabitkan rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru, yang akan dibentang bagi bacaan pertama.
Dewan Rakyat kali ini juga akan mempunyai sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen membabitkan pembaharuan pilihan raya bagi menghapuskan semua syak wasangka pembangkang yang lantang menuduh wujud manipulasi oleh kerajaan.
Nazri menjelaskan, di kala BN sudah mengumumkan senarai mereka yang akan terbabit dengan jawatankuasa ini, pihaknya masih menunggu nama daripada parti pembangkang dan wakil Bebas.
Apa yang jelas, kerajaan BN yang diketuai Najib sudah bekerja keras untuk melaksana tugas bagi menunaikan semua janji ke arah transformasi ekonomi, sosial dan politik negara ini.
Banyak transformasi yang diumumkan memberi persepsi seolah-olah Kerajaan BN tunduk kepada desakan pembangkang tetapi hakikatnya ini adalah janji Najib sejak beliau mula mengambil alih pentadbiran negara dua tahun lalu - melakukan transformasi pada semua peringkat baik dalam pentadbiran, ekonomi, sosial mahu pun politik.
Dengan andaian PRU 13 diadakan sebelum Penggal Kelima Parlimen bersidang Mac depan, Najib sudah mengotakan janjinya untuk mengembalikan kerajaan BN ke landasan perjuangan berpaksikan kebajikan rakyat. Slogan pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan bukan sekadar retorik!