Bagaimanakah reaksi kita apabila salah seorang daripada ahli keluarga ditimpa musibah dan tiada apa boleh dilakukan disebabkan hospital kekurangan bekalan darah? Bagi yang tidak pernah melaluinya tidak akan tahu bagaimana gelodak dalam hati mereka.

Memang ramai akan bersimpati, tetapi simpati saja tidak dapat membantu apa-apa dan simpati juga tidak meringankan kesusahan ditanggung pesakit. Ketika itu, kita akan menghargai dan berasa terhutang budi kepada penderma darah.
Penderma darah tetap adalah orang yang prihatin, penyayang dan menjadi nadi masyarakat kerana darah didermakan itu membolehkan orang yang memerlukan meneruskan kehidupan mereka. Usaha menggalakkan masyarakat menderma darah menjadi tanggungjawab semua pihak.


Menyedari pentingnya supaya maklumat mengenai kepentingan menderma darah, Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, menganjurkan Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan Siri 2/2012.

Kempen kali kedua itu bertujuan membantu Pusat Darah Negara mengisi tabung darah selain menggalakkan orang ramai menderma sambil beramal. Program itu juga sebahagian aktiviti mengimarahkan Masjid Negara di samping memberi maklumat kesihatan untuk manfaat pengunjung.

Program kali ini mendapat sokongan Pusat Darah Negara, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Klinik Pergigian Tanglin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Sumber Transplan Nasional, Bahagian Perkhidmatan Farmasi serta Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Persatuan bagi Mencegah Penyakit Tibi turut menyertai program ini.
Daripada 168 yang mendaftar, seramai 128 layak mendermakan darah dan jumlah itu antara yang tertinggi dicatatkan sepanjang Masjid Negara menganjurkan Kempen Derma Darah bermula pada 2002.

Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara mengharapkan kempen ini akan terus mendapat sambutan orang ramai bagi membantu hospital serta pesakit yang memerlukan bekalan darah.

Pelbagai pengisian menarik diadakan iaitu pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, pameran, pendaftaran dan semakan pemilih SPR.