SERAMAI 40 anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni Sungai Buloh dan Rumah Anak Yatim Sungai Tangkas, Selangor antara penonton terawal yang menyaksikan siri animasi tempatan Saladin.

Animasi Saladin yang kini disiarkan menerusi TV1 setiap Sabtu jam 7.30 malam dan siaran ulangannya pada Ahad 9.30 malam diterbitkan Perbadanan Multimedia Malaysia (MDeC) dan Al-Jazeera Children Channel (AJCC) memilih Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tempat pra-tayangannya.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Prof Madya Dr Che Ibrahim Salleh, berkata program pratayangan siri itu bertujuan menggalakkan pelajar menghasilkan filem animasi yang bertaraf dunia.

“Program itu adalah sebahagian daripada kursus pelajar Sarjana Perhubungan Awam di UPM. Ia bertujuan memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar Sarjana Komunikasi Korporat menjayakan aspek pengendalian majlis dan perhubungan awam.

Kemahiran ‘soft skill’ ini tidak dapat dipelajari dalam kelas, tetapi dipelajari apabila menghadapi dunia profesional selepas tamat pengajian.

“Sebagai menyokong usaha ini, UPM membantu mempromosikan siri animasi Saladin ini melalui radio Putra FM kepada pelajar kampus,” katanya pada Majlis Pra-Tonton Siri Animasi Saladin anjuran pelajar KOM 5321 Perhubungan Awam Lanjutan, Jabatan Komunikasi, FBMK, UPM.

Sebelum ini, Saladin pernah memenangi kategori Teknologi Terbaik di Pesta Kartun dan Animasi Antarabangsa Seoul (SICAF) dan Tokyo Big Sight Award di Tokyo International Anime Fair 2007 bagi kategori imej janaan komputer tiga dimensi (3D CGI), kesan khas visual dan animasi.
Saladin mengisahkan pahlawan perang ketika peristiwa Perang Salib pada kurun ke-12. Ketika itu perompak dan lanun padang pasir yang tidak berhati perut sering berkeliaran dan menyerang rombongan pedagang bagi merampas harta benda mereka.

Pada kurun ini juga adalah era Perang Salib yang mana Frank dari Eropah menawan kawasan ini.

Di sebalik suasana tidak menentu ini, Saladin dan rakannya Tarik serta bekas tentera Frank berkhidmat untuk seorang pedagang yang dikenali sebagai Mustafa. Melihatkan kebolehan yang ada pada ketiga-tiga sahabat ini, Mustafa melantik mereka sebagai pengawalnya setiap kali berurusan dagang.

Walaupun sifat kepahlawanan sangat terserlah dalam diri Saladin, beliau masih perlu bekerja untuk menampung kehidupannya. Seorang penglipur lara, Omar memberitahu bahawa Saladin mempunyai masa depan yang amat cerah.

Turut ditampilkan dalam siri animasi ini adalah watak Anisa, seorang gadis yang licik dalam menipu dan mencuri. Namun sikap buruknya itu sedikit demi sedikit berubah disebabkan Saladin.

Siri ini juga menampilkan satu lagi watak wanita iaitu Shadow, pembunuh upahan paling bahaya yang memburu Saladin dan individu yang rapat dengannya.