gambar sebelum  gambar berikut
  • Foto

  • Foto

Apabila memilih untuk tampil berhijab, artis tersohor Datuk Siti Nurhaliza sedar keputusannya bakal membawa diri berdepan pelbagai situasi yang andai tersilap percaturan, mungkin memakan diri.

Apatah lagi dengan kedudukannya sebagai penyanyi terkenal, pasti ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah imej barunya itu mempengaruhi kerjaya seni. Adakah Siti selepas ini akan membataskan gerak-gerinya hanya kerana dirinya berhijab?
Saat diajukan persoalan ini kepada si empunya diri, Siti mengakui perkara itulah yang sering bermain di fikiran selepas bertudung litup.

“Banyak perkara yang perlu Siti nilai kembali selepas berhijab. Sebagai penyanyi, ada ketika, Siti perlu menari. Siti tak mahu situasi itu mencetuskan perasaan tidak senang lebih-lebih lagi selepas Siti mengenakan tudung litup.

“Mungkin selepas ini Siti akan mengikut gaya penyanyi Adele yang tidak perlu banyak bergerak ketika membuat persembahan, sebaliknya suara dan lagu-lagunya sudah cukup hebat.

“Disebabkan itulah SitI perlu memikirkan lebih awal konsep untuk album yang akan datang supaya dapat disesuaikan dengan penampilan Siti,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman persembahan sempena Minggu Setiausaha - Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza di The Royale Chulan, Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Menurut Siti, walau apapun kesukaran yang perlu ditempuh, dia berpuas hati kerana apa yang diimpikan akhirnya termakbul.
“Memang dari dulu lagi Siti impikan untuk mengenakan tudung litup iaitu selepas Siti menunaikan ibadat Haji. Akhirnya, impian itu tercapai selepas melalui pelbagai fasa iaitu bertudung, berselendang dan akhirnya bertudung litup.

“Suami Siti suka dengan penampilan terbaru ini,” dedah penyanyi berusia 33 tahun ini.

Single baru, Galau kurang menyengat?

Selepas lagu Muara Hati yang dinyanyikan secara paduan suara dengan Hafiz, Siti muncul dengan single berjudul Galau yang julung kali diperdengarkan ketika konsert sulungnya di Gambang, Kuantan, tahun lalu.

Namun, entah di mana silapnya, lagu itu agak kurang menyengat jika mahu dibandingkan dengan kebanyakan lagu cinta yang pernah didendangkan Siti.

Menjawab persoalan itu, Siti berkata sebagai penyanyi, dia berusaha menyampaikan lagu itu sebaik mungkin.

“Lagu itu adalah projek khas Siti bersama Universal Records dan untuk pasaran digital. Pihak syarikat rakaman yang mahukan Siti menyanyikan lagu itu.

"Sebagai penyanyi, Siti berusaha menyampaikan lagu itu sebaik mungkin dan selebihnya Siti serahkan pada pendengar,” ujarnya.

Luahan politik sekadar pandangan rakyat

Melihat trend artis yang makin ramai berhijrah, ada antara mereka mula diintai parti politik untuk menyampaikan ceramah motivasi. Apakah Siti tidak terkecuali didatangi pihak yang mahu Siti melakukan perkara sama?

“Setakat ini, tidak ada yang meminta saya berbuat demikian. Siti juga tidak bersedia untuk menceburi bidang politik walaupun kebanyakan tweet saya berbaur politik.

“Apa yang saya tulis adalah ada sekadar suara seorang rakyat dan tidak bermaksud apa-apa,” tegas Siti menyatakan pendiriannya. H2

Siti nyanyi selepas rehat tiga bulan

Sementara itu, mengulas persembahan yang bakal dijayakannya pada 11 April depan, Siti berkata, ia bakal memberi kenangan terindah kepada peminat selepas tiga bulan berehat menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa yang sakit akibat kemalangan jalan raya di New Zealand.

“Sepanjang lebih sejam persembahan, Siti akan menyampaikan juga lagu popular semasa. Tidak ketinggalan, lagu Siti sendiri seperti yang Siti lakukan pada persembahan Pink Jazzy Affair tempohari apabila Siti nyanyi lagu Skyfall yang cukup popular ketika itu.” katanya yang bakal diiringi pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito.

Kata penyanyi Biarlah Rahsia ini, persembahannya itu adalah eksklusif kerana itu adalah satu-satunya persembahan sempena Minggu Setiausaha yang dijayakannya, tahun ini.

Selain mendengar nyanyian Siti, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh bekas peserta program One In A Million, Lokman Aslam dan pertunjukan fesyen oleh Cosry Design.