Sepang: Ketua Pemuda UMNO Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan AJK UMNO Sepang Hanapiah Mohamad secara automatik bukan lagi ahli UMNO selepas menjadi calon Bebas di kerusi Parlimen Sepang.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, berkata ini kerana kedua-dua pemimpin itu melanggar aku janji dibuat kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak walaupun tidak dipilih menjadi calon pada PRU-13.
“Jika diambil kira kenyataan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ahli BN bertanding atas tiket Bebas akan secara automatik dipecat sebagai ahli parti komponen, bermakna Suhaimi dan Hanipah bukan lagi ahli parti.

“Jadi mulai saat ini mereka bukan lagi ahli UMNO dan rakyat boleh membuat penilaian sama ada tindakan Suhaimi dan Hanipah bertanding atas tiket Bebas adalah untuk kepentingan parti atau diri sendiri.

“Justeru, saya yakin dan percaya BN tetap dapat mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen Sepang yang menjadi kubu kuat kita selama ini,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon di sini semalam.

Selain, Suhaimi dan Hanipah, Mohd Zin turut menghadapi tentangan daripada calon PAS, Hanipa Maidin, sekali gus menyaksikan persaingan empat penjuru di Parlimen Sepang.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek (N56) juga menyaksikan pertandingan empat penjuru, manakala Tanjong Sepat (N54) dan Dengkil (N55) masing-masing tiga penjuru.