Cooma: Suhu tinggi yang mencatat rekod di seluruh selatan Australia dilaporkan sudah turun semalam, sekali gus mengurangkan bahaya kebakaran hutan berikutan cuaca panas melampau dan risiko kebakaran.

Bagaimanapun ramalan cuaca menyatakan perkembangan ini mungkin hanya bersifat sementara dan untuk tempoh singkat.
Selepas berdepan risiko kebakaran paling tinggi di dalam sejarah negara itu kelmarin, perubahan angin di negeri New South Wales yang paling teruk terjejas menyebabkan suhu turun dengan ketara.

Australia mencatatkan rekod hari paling panas pada Isnin dengan purata suhu di seluruh negara adalah 40.33 darjah Celsius, memecahkan rekod yang pernah dicatatkan pada 1972 iaitu 40.17 darjah Celsius.

Selasa adalah hari ketiga paling panas dengan suhu 40.11C. Empat daripada 10 hari paling panas di Australia direkodkan pada 2013.

Tidak diragukan lagi ini adalah suhu yang amat luar biasa panasnya, kata pengurus ramalan dan pemantau iklim biro meteorologi Australia, David Jones.

Jika anda lihat pada tahapnya, tempoh dan intensiti boleh dikatakan ia adalah paling panas dalam sejarah Australia, katanya.
Ketika suhu semakin berkurangan di selatan Australia semalam, ibu negara itu, Canberra mencatatkan penurunan daripada setinggi 36C pada Selasa kepada 28C manakala Sydney menurun daripada 43C kepada 23C.

Jones berkata, semalam juga adalah antara hari paling panas di Australia apabila suhu dihitung. Ini disebabkan keadaan terlampau panas berpindah dari kawasan berpenduduk padat di selatan ke utara dan tengah negara itu.

Biro berkenaan turut meramalkan purata suhu berlebihan sepanjang musim panas ini, meningkatkan kemungkinan bahawa kebakaran akibat kurangnya hujan di tengah dan selatan Australia sejak enam bulan lalu.

Ia akan menjadi amat mencabar, kata Jones mengenai kebakaran hutan yang mengundang bahaya.
AP