SUKUK Global Malaysia dikenali sebagai ‘Emas’ yang dilancarkan pada 19 Mei lalu mendapat sambutan memberangsangkan dengan menyaksikan saiz terbitannya ditingkatkan kepada AS$1.25 bilion berbanding cadangan awal AS$1 bilion.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Kewangan berkata, penambahan saiz terbitan itu juga menjadikan Emas sebagai terbitan sukuk kedaulatan terbesar global yang diterbitkan setakat ini.
Katanya, terbitan Sukuk Global dengan tempoh matang lima itu menarik minat langganan melebihi AS$6 bilion daripada 270 pelbagai kumpulan pelabur domestik dan antarabangsa.

“Kejayaan penawaran Sukuk Global Malaysia itu adalah pencapaian hebat oleh negara kerana berjaya melengkapkan urus niaga itu dalam suasana ketidaktentuan ekonomi semasa dan keadaan pasaran yang mencabar. Selain itu, ia juga adalah gambaran terhadap kekukuhan asas ekonomi makro Malaysia,” tambah kenyataan itu.

Harga sukuk itu ditetapkan pada 3.928 peratus kelmarin, iaitu selepas pameran bergerak yang diadakan di beberapa bandar utama dunia yang bermula dengan pelancarannya di Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu.

Emas yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah terbitan Sukuk Global dalam dolar Amerika Syarikat (AS) kedua negara di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Malaysia adalah negara pertama melancarkan Sukuk Global menerusi sukuk pertama yang diterbitkannya pada 2002.
Barclays Capital, CIMB dan HSBC diberikan mandat sebagai pengurus akaun bersama dan pengurus utama bersama tawaran Sukuk Global Emas itu.

Kementerian Kewangan menambah, Sukuk Global Emas diberikan penarafan A oleh agensi penarafan terkemuka dunia, Standard and Poor's serta penarafan A3 oleh Moody's dan dikendalikan menerusi prinsip di bawah prinsip syariah Ijarah.

Kementerian Kewangan berkata, pemberian nama Emas terhadap Sukuk Global Malaysia itu adalah pengiktirafan khas yang diberikan terhadap terbitan sukuk dalam mata wang asing di dalam pasaran modal Malaysia.

“Pelancaran sukuk dengan tempoh matang lima tahun oleh Malaysia itu mengukuhkan lagi kedudukan negara ini sebagai peneraju dalam kewangan Islam dan kedudukannya sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa,” katanya.