Suruhanjaya siasat tragedi Rohingya
Yangon: Kerajaan Myanmar membentuk suruhanjaya untuk menyiasat punca keganasan agama baru-baru ini yang meragut 83 nyawa.
Laman web Presiden Thein Sein mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu kelmarin, lebih dua bulan selepas keganasan antara penduduk Buddha Rakhine dan Muslim Rohingya Jun lalu menyebabkan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal.
Thein Sein yang memperkenalkan pembaharuan politik di Myanmar sejak menjadi presiden tahun lalu selepas berdekad diperintah tentera, menolak desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi supaya diwujudkan badan siasatan bebas, berkata ketegangan itu adalah hal ehwal dalaman negara itu.
27 anggota
Suruhanjaya dengan 27 anggota itu diketuai pegawai bersara Kementerian Hal Ehwal Agama dan termasuk bekas aktivis penuntut, bekas pegawai PBB dan wakil semua parti politik serta pertubuhan Islam dan agama lain.
Mereka termasuk beberapa pengkritik kerajaan yang pernah dipenjarakan sebagai tahanan politik, termasuk aktivis dan pelawak dihormati, Zarganar, dan Ko Ko Gyi yang membantu mengetuai kebangkitan penuntut menentang bekas junta pada tahun 1988 tetapi gagal.
Presiden mahu menunjukkan kepada dunia beliau cuba yang terbaik untuk menangani isu luar biasa sensitif ini, kata Hkun Htun Oo yang juga menganggotai badan itu.
Suruhanjaya itu ditugaskan mencadangkan penyelesaian kepada permusuhan sekian lama antara dua komuniti itu dan menyerahkan laporannya pada 17 September ini.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, mengalu-alukan penubuhan suruhanjaya itu, yang dapat memberikan sumbangan penting kepada usaha memulihkan keamanan dan keharmonian di negara itu dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk menangani punca keganasan, termasuk keadaan komuniti Islam di Rakhine, kata timbalan jurucakap PBB, Eduardo del Buey, lewat kelmarin.
AP