Suspek rompakan bank mati ditembak Anggota polis forensik memeriksa kereta penjenayah dalam kejadian tembakan di Kampung Chubadak, Jalan Datuk Senu 3, semalam. - Foto BERNAMA
Rakan berjaya larikan diri

Kuala Lumpur: Seorang suspek kes rompakan bank pada Isnin lalu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Chubadak, Jalan Datuk Senu 3, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, seorang lagi rakan suspek berjaya melarikan diri selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas melanggar tembok masjid.

Kejadian berlaku apabila pasukan khas polis yang ditubuhkan susulan kes rompakan tiga lelaki bersenjata di sebuah bank di Bandar Sri Damansara, mengesan sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki suspek di Batu Caves, Gombak dipercayai kereta sama digunakan dalam kes rompakan, sebelum mengejarnya.

Suspek yang menyedari diekori anggota polis memecut kenderaannya dan berhenti di Plaza Tol Gombak sebelum masuk ke dalam sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu rakannya di lokasi terbabit.

Sepasukan polis menghampiri kereta Vios terbabit sebelum salah seorang daripada mereka mengeluarkan senapang patah, menyebabkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum suspek melarikan diri.

Berbalas tembakan dengan polis
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata polis mengejar suspek sambil berbalas tembakan sejauh 15 kilometer sebelum kereta yang dinaiki penjenayah itu terbabas melanggar tembok masjid.

Katanya, suspek yang berada di bahagian pemandu kereta Toyota Vios mati di lokasi kejadian selepas terkena beberapa das tembakan di badannya, manakala rakannya melarikan diri.

“Pemeriksaan terhadap kereta suspek juga menemui senjata api dipercayai digunakan untuk kegiatan samun. Suspek yang mati berusia 33 tahun itu bekerja sebagai pemandu teksi dan berasal dari Kelantan, selain mempunyai enam rekod jenayah,” katanya.

“Siasatan lanjut juga mendapati, senapang patah yang digunakan suspek adalah milik pengawal keselamatan bank yang dirompak Isnin lalu dan dua kereta yang digunakan itu adalah hasil kegiatan samun di Setapak dan Bandar Sri Damansara,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, Isnin lalu, tiga lelaki bersenjatakan pistol hanya mengambil masa lima minit sebelum melarikan wang tunai RM200,000 dalam kejadian rompakan di bank terbabit.

Sekumpulan suspek terbabit turut mencederakan seorang pengawal keselamatan yang dijadikan sebagai tebusan sebelum senapang milik mangsa dilarikan penjenayah.

Mengulas lanjut, Adnan berkata pihaknya sedang mengesan saki baki kumpulan terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan polis.