Syakirin tekad pertahan pendahulu

Syakirin tekad pertahan pendahulu

Oleh Ahmad Fiesal Othman
2012/04/23

FAKHRUSY Syakirin Rostam bertekad untuk mempertahankan kedudukan pendahulu menjelang perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Utama Kangar, Perlis pada 28 dan 29 April ini.

Selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada dua pusingan lalu, Fakhrusy kini mendahului senarai pelumba kategori Wira dengan mengumpul 38 mata, namun pelumba AAP Mazoil Armstrong itu diekori rapat oleh Mohd Hafiz Nor Azman dari Team MOS Track Pro Yamaha Racing di tangga kedua, ketinggalan dua mata di belakang.

Bagi pelumba kelahiran Johor itu, kelebihan dua mata itu tidak mencukupi, apatah lagi saingan masih di peringkat awal dan berbaki lapan pusingan lagi, malah prestasi cemerlang Hafiz yang menaiki podium pada kedua-dua pusingan lalu di Batu Kawan (Pusingan 1) dan Kuala Terengganu (Pusingan 2) turut menggusarkan Fakhrusy.

“Sasaran utama pada minggu ini adalah untuk menjarakkan diri daripada Hafiz. Apa saja boleh berlaku sewaktu perlumbaan dan dengan prestasi konsisten menaiki podium pada kedua-dua pusingan perlumbaan, Hafiz dilihat mampu merampas kedudukan saya sebagai pendahulu.” kata Fakhrusy.

Begitupun, keyakinan Fakhrusy tetap tinggi ekoran kelebihan pada jentera pasukannya.

“Setiap kali keluar ke litar, prestasi Hafiz cukup konsisten, namun jentera saya dilihat mempunyai beberapa kelebihan terutama dari segi kelajuan. Saya cuma perlu memperbaiki kemahiran tunggangan dan beraksi dengan lebih agresif,” jelasnya.

Berada di belakang Fakhrusy dan Hafiz dalam senarai keseluruhan ialah Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan 25 mata.