Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata konsep itu telah diperkenal di Kedah yang mana pemilik atau pengusaha akan menyewakan sawah mereka kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau koperasi peladang.
"Pada masa ini, pesawah uruskan sawah mereka secara individu dan pendapatan mereka terhad serta hasil padi mereka berbeza-beza.
Hasil dipasti tak kurang
“Jadi, kita buat pendekatan baru, kita urus sawah, tetapi segala hasil tani mereka kita akan pastikan tidak akan kurang dan mereka dapat keuntungan lebih daripada yang mereka peroleh ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Insentif Peningkatan Hasil Padi Kawasan Sawah Sempadan di sini, semalam.
Noh juga berkata melalui konsep itu, pesawah masih mengusahakan kawasan tanaman mereka walaupun disewakan kepada PPK atau koperasi peladang, dan pada masa sama, mereka menerima lebihan hasil selepas ditolak kos pengurusan.
Beliau berkata kementerian sedang mengadakan sesi penerangan berhubung perkara itu dan jika mendapat persetujuan pesawah, konsep itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan 300 peserta bermula Ogos ini.
“Secara keseluruhan, konsep ini menggunakan pendekatan yang mana sawah padi diusahakan secara sama antara kementerian dan pesawah, sekali gus memberi jaminan pesawah menerima dua kali pendapatan,” katanya.
Terdahulu, Noh menyampaikan insentif berjumlah RM864,153.07 kepada 583 pesawah.
Insentif diperkenal pada November 2006 itu satu daripada langkah bagi menggalakkan peningkatan hasil padi dan bertujuan mencapai hasrat untuk meningkatkan kadar sara diri, iaitu 90 peratus daripada keperluan beras negara. - BERNAMA
