DR MAHATHIR bersama Ahmad (dua dari kiri) dan Dr Mohamed Ikram (kanan) pada perasmian Tabung Bencana NSTP Media Prima untuk Mangsa Kebuluran Somalia, semalam.
PUTRAJAYA: Prihatin dengan nasib rakyat Somalia, konglomerat media terbesar, Media Prima Berhad (Media Prima) dan anak syarikatnya, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) melancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima untuk membantu mangsa kebuluran di negara berkenaan, semalam.
Ahmad berkata, semua sumbangan orang ramai akan digunakan untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan untuk membantu meringankan beban dan penderitaan dihadapi rakyat wilayah terbabit.
"Kita memang sudah lama merancang untuk mewujudkan tabung seperti ini. Malah, di NSTP kita mempunyai banyak tabung bagi membolehkan orang ramai menghulurkan derma untuk membantu mangsa bencana.
"Umpamanya, sebelum ini kita juga melancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima kepada mangsa tanah runtuh Rumah Anak Yatim al-Hidayah dan Madrasah al-Taqwa Hulu Langat; tsunami di Jepun serta mangsa banjir di Kedah, Kelantan dan Johor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran tabung itu yang disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden PGPF di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, semalam.
Hadir sama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai dan Naib Presiden MERCY Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh.
Orang ramai atau syarikat yang ingin menderma boleh menghulurkan sumbangan masing-masing menerusi akaun Maybank 514105-320757 atau datang sendiri ke Bahagian Kewangan NSTP di 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur atau menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd, dengan menulis Tabung Bencana NSTP-Media Prima di belakang cek.
Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucapannya, berkata pada ketika rakyat Malaysia bersyukur kerana terlalu banyak makanan, mereka wajar membantu mangsa kebuluran di Somalia dengan menyumbang kepada tabung berkenaan.
Dr Mahathir berkata, difahamkan sehingga kini lebih RM800,000 berjaya dikumpulkan bagi membantu mangsa kebuluran di Somalia termasuk RM750,000 d-
idermakan oleh Yayasan al-Bukhari; PGPF (RM50,000) dan selebihnya adalah sumbangan orang perseorangan.
"Kita sudah mengutip derma bagi membantu masyarakat di Gaza, Palestin, mangsa gempa bumi di Pakistan dan tsunami di Aceh. Jadi saya fikir rakyat Malaysia sudah ‘letih’ tetapi saya bersyukur itu semua tidak benar kerana rakyat Malaysia memang suka membantu mereka ditimpa kesusahan.
"Di Malaysia tidak pernah ada kejadian ada orang mati kerana tidak cukup makanan seperti di Somalia. Justeru, saya berharap rakyat Malaysia perlu berkongsi penderitaan dan tampil untuk menghulurkan derma membantu masyarakat Somalia yang kini diancam kebuluran," katanya.