Kuala Lumpur: Dakwaan ada parti menyewa kapal terbang khas untuk membawa pengundi hantu dari Sabah ke Semenanjung dan sebaliknya untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Ahad ini, tidak masuk akal.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata mana mungkin pengundi boleh dipindahkan sesuka hati ke kawasan lain tanpa mengikut pertukaran alamat.
“Kita tidak boleh sesuka hati pindah pergerakan pengundi, mereka kena ikut proses dengan tukar alamat. Saya tidak percaya langsung, pengundi yang berdaftar dan tidak berdaftar boleh mengundi bukan di kawasan mereka termasuk sewa kapal terbang dari Semenanjung ke Sabah.


“Kalau itu berlaku, tidak masuk akal, kita kena ikut undang-undang, contoh penduduk Sabah yang bekerja di sini, mengundi di sini kerana mereka sudah tukar alamat, bukan sebab mereka boleh mengundi begitu saja,” katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, di sini, semalam.

Baru-baru ini, PAS mendakwa terdapat penerbangan disediakan kepada rakyat Sabah ke Selangor bagi tujuan membuang undi.

Ditanya terdapat kertas undi pos yang bertaburan di Kajang baru-baru ini, Abdul Aziz berkata, perkara itu tidak akan berlaku sekiranya pengundi pos berkenaan menyimpan kertas undi mereka dengan baik.

“Saya hairan juga macam mana boleh bersepah, kalau dijaga baik ia tidak mungkin berlaku. Buat masa ini tiada laporan rasmi diterima, kalau ada kami akan tanya pegawai pengurus pilihan raya mengapa perkara ini boleh terjadi, ia serius,” katanya.