login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Selasa , 29 Julai 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BiPop
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Tak peduli kata orang
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
2010/08/01

Mizz Nina, Atilia tak gerun hadapi tentangan dalam dunia seni

MEMILIH untuk berlari di pentas komersial bererti membenarkan segenap sudut kehidupan peribadi menjadi tatapan umum, biarpun bukan itu niat asal apabila menjadikan industri seni suara sebagai kerjaya utama.
Sesiapa pun akan mendambakan cerita mengenai kerjaya dan pencapaian dijadikan tajuk utama menghias dada akhbar, bukan gosip remeh yang cuma menyesakkan dada peminat. Namun realiti industri hiburan yang bersifat sebaliknya mendesak Raja Putri Atilia Haron, 36 dan Shazrina Azman, 30 supaya akur menerima ketentuan itu.
Pilihan yang tanpa rela mengheret mereka ke kancah perdebatan umum, malah sesekali menuntut ruang untuk membela diri tetapi semua tuntutan itu enggan diendahkan.

Selagi apa yang diperkatakan tidak menjatuhkan reputasi atau mencemar nama baik, Atilia dan Shazrina atau nama pentasnya, Mizz Nina membiarkan saja sesuatu isu itu berlalu tanpa perlu sebarang ulasan.

Agak bernasib baik kerana belum sempat dijamah sebarang kontroversi memualkan, sesekali terbit juga pertanyaan di hati mereka, apa sebenarnya kemahuan khalayak?

Agak terbuku apabila khalayak lebih berminat memperkatakan mengenai status dan peribadi mereka, berbanding usaha keras merealisasikan produk yang menjadi lambang kebanggaan dan pencapaian.
“Ini realiti industri yang tidak terdaya untuk sesiapa pun mengubahnya. Di luar negara tuntutannya lebih menakutkan, jadi saya tidak perlu gerun mendepani apa saja tentangan. Saya lalui saja kerana tiada guna terlalu memikirkan perkara itu. Semua perkara itu di luar kawalan saya tetapi jauh di sudut hati, saya mengimpikan tumpuan lebih diberikan kepada karier,” kata Mizz Nina cuba berdamai dengan gejolak dirinya.

Dilahirkan sebagai puteri kepada Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim itu, Mizz Nina yang juga anak bongsu lima beradik mengakui tidak mampu menolak kenyataan daripada terus dikaitkan dengan pengaruh bapanya.

Dia seakan-akan sudah lali dengan pandangan orang terhadap dirinya. Lontarkan apa saja persepsi terhadap dirinya, dia enggan lagi mengambil peduli.

Realitinya kata gadis yang mencipta nama bermula dengan kumpulan Teh Tarik Crew, dia berusaha keras untuk membawa bakatnya sehingga dipercayai pencinta muzik selepas muncul dengan single pertama, What You Waiting For.

Dia percaya sehebat mana pun pengaruh atau kuasa yang dimiliki seseorang, semua itu tidak mampu mengalih mata peminat untuk menyatakan sokongan kerana kekuatan bakat.

“Saya masih lagi mampu berdiri atas kaki sendiri dan saya berbangga kerana apa yang dikecapi hari ini adalah hasil kepayahan masa lalu,” katanya lagi.

Bermula dalam komuniti penggemar yang kecil, label penyanyi urban yang dibawa Pengarah Urusan The Singing Shop di Amcorp Mall itu cuma dikenali peminat bandar. Mizz Nina bukan sesuatu yang mudah untuk merangka peluang lebih besar seperti yang diraihnya hari ini. Semua itu menuntut keberanian luar biasa.

“Saya mencabar diri untuk keluar dari ruang selesa, meneroka sisi baru sebagai penyanyi. Tuntutannya berat, apatah lagi selepas bergerak solo. Saya kembali menyertai kelas vokal, bukan dengan niat untuk menandingi sesiapa atau membuktikan saya juga penyanyi hebat tetapi lebih kepada mencari kepuasan dalam apa yang dilakukan,” katanya.

Turut dikenali sebagai pengacara, penyampai radio dan model, Mizz Nina sudah mampu menghela nafas lega apabila album yang dilancarkan pada 17 Julai lalu meraih reaksi positif peminat tempatan.

Sekadar menyandar kepada lagu, What You Waiting For, kolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu dari Amerika Syarikat, Colby O’Donnis, pecaturan Mizz Nina membuahkan hasil di luar jangkaan.

Video muzik lagu yang diarahkan oleh Scott McCullough dan dilakukan di Los Angeles itu dilayari lebih 400,000 peminat sejak 31 Mac lalu menambahkan rasa bangga di hatinya.

Rakam semula lagu ibu

DALAM lembut bicara Atilia, terselit kekuatan yang menterjemahkan betapa wanita bertubuh kecil molek ini sudah lunak dengan pelbagai cubaan dan tentangan hidup. Bicara Atilia sentiasa meniupkan nafas keberanian, justeru bukan sesuatu yang menakutkan kepada anak penyanyi senior, Salamiah Hassan ini untuk mengatur setiap langkahnya sendiri.

Ibu yang dipanggil mama itu kata Atilia, sentiasa menjadi pedoman supaya dia tidak tersasar dalam setiap destinasi yang ingin dituju.

Tetapi status sebagai anak penyanyi ternama jarang dijadikan tiket untuk menikmati segala keistimewaan apabila turut memilih menjadi anak seni.

"Mama sentiasa ada di sisi untuk memberi sokongan apabila saya memerlukannya dan menghulurkan nasihat ketika saya kabur dalam mencari haluan. Tetapi mama tidak sesekali membiarkan saya mengambil kesempatan atas populariti dan kedudukannya untuk meraih setiap peluang di depan mata. Mama senang saya mencubanya sendiri, mahu saya merasai perit jerih menjadi anak seni seterusnya membina kekuatan peribadi supaya diri dihormati.

"Awal dulu saya terpukul apabila orang ramai meletakkan harapan tinggi, mahu saya menjadi sehebat mama. Kami dua insan yang berbeza, mana mungkin saya pantas menjadi sehebat mama. Saya mahu masyarakat menerima saya sebagai Atilia, menghulurkan sokongan yang diperlukan dan diberi peluang untuk saya mengasah kekuatan menjadi sehebat mama," kata Atilia.

Pernah hadir bersama Sangkar, penantian dua tahun Atilia untuk menghadiahkan peminat dengan produksi terbaru kini menjadi kenyataan.
Bersama Indah, Atilia membentangkan sebuah lagi produksi berkualiti untuk dinilai peminat sarat dengan ciptaan ringan dan mesra pendengar.

Berbanding Sangkar yang menjurus kepada kepuasan diri Atilia dalam menghasilkan produk berpaksikan kekuatan teknikal dan susunan muzik, Indah hadir lebih ringkas serta sarat elemen komersial. Bukan mengalah kepada tekanan pasaran, cuma Atilia ingin muziknya menerawang ke pasaran lebih luas ketika masyarakat semakin terbuka menerima muzik dibawakan penyanyi angkatan baru seperti Mizz Nina, Yuna dan Najwa.

“Ia bukan suatu kegagalan sebaliknya sebuah percubaan terbaik untuk saya lebih mengenali selera dan kemahuan peminat,” kata Atilia yang kembali merakamkan lagu popular ibunya, Gelombang untuk album itu. Senyum Atilia sedikit melebar ketika ini apabila lagu seperti Indah, Harus Bagaimana dan Silly Little Thing sudah mula mendapat tempat di stesen radio.

Indah turut memuatkan duet Atilia bersama Noh (Hujan) menerusi lagu Old Love, serta berkolaborasi bersama grup jazz popular Indonesia, Malique & The Essentials dan Sore.

Atilia dah ada kekasih baru

KEGAGALAN mempertahankan perkahwinan pertama yang musnah tatkala menginjak usia sedekad tidak membuat Atilia terperuk dan menangisi takdir yang tertulis untuknya.

Atilia akur, perkahwinan pertama dulu dijalaninya pada usia masih muda ketika berumur 24 tahun dan masih mentah dalam menilai sesuatu keputusan.

Lalu ketika hatinya kembali dicuri oleh jejaka yang turut sama bergiat dalam lapangan seni, Atilia bersikap lebih berhati-hati.

Tiada lagi keputusan terburu-buru kerana dia tidak mahu kekecewaan lalu kembali diulangi buat kali kedua. Saat ditanya apakah pintu hatinya sudah terbuka untuk kembali bergelar isteri, Atilia berkata: "Perancangan ke arah itu ada cuma tidak tahu bila akan menjadi kenyataan".

Pantas memaklumkan perkahwinan impiannya tidak mungkin terjadi pada 2010, Atilia berkata, pada usia 36 tahun selayaknya dia ditemani seorang lelaki sebagai suami.

"Jujur saya sudah bersedia untuk membina keluarga dan mempunyai komitmen sebagai isteri. Tiada apa lagi yang perlu difikirkan kerana kerjaya sudah stabil, begitu juga pengurusan diri. Cuma saya tidak mahu terburu, bimbang kerana mengikut kata hati akhirnya kebahagiaan yang dicari tidak ditemui. Bukan serik tetapi masa terbatas untuk kami merancang soal perkahwinan," katanya.

Enggan membohongi diri, Atilia tidak menafikan sesekali dia terasa kekurangan dan dibalut kesepian. Melihat teman akrab memiliki pasangan dan mempunyai anak, Atilia juga ingin menikmati kebahagiaan serupa. Atilia menambah, belum masanya lagi untuk memperkenalkan si dia itu kepada khalayak.

Bukan mengelak cuma sifat pendiam dan pemalu teman lelakinya membuat Atilia menjalani cinta mereka tanpa terlalu disorot media.

“Dia sendiri masih kekok untuk bersoal jawab dengan media meskipun kerjayanya memerlukan dia dekat dengan wartawan," kata Atilia yang sedang sibuk membintangi pementasan muzikal, Always In Wonderland.

Info

  • Atilia:
    Nama Penuh: Raja Putri Atilia Raja Haron
    Nama Komersial: Atilia
    Tarikh Lahir: 15 September 1974
    Umur: 36 tahun
    Asal: Muar, Johor
    Kerjaya: Penyanyi, penulis lirik dan pelakon
    Album: Album Kompilasi RAP, Sangkar (2007) dan Indah (2010)
    Teater: P Ramlee The Musical
    Filem: Ransan dan Bisikan Puaka

  • Mizz Nina
    Nama Penuh: Shazrina Azman
    Nama Komersial: Mizz Nina
    Tarikh Lahir: 1 Julai 1980
    Umur: 30 tahun
    Asal: Kuala Lumpur
    Kerjaya: Model, pengacara, penyampai radio, penyanyi dan usahawan
    Pendidikan: Ijazah Pengajian Media dan Perhubungan Awam di sebuah universiti di Australia
    Status: Bujang
    Album solo: What You Waiting For
    Album Berkumpulan: (Bersama Teh Tarik Crew) EP Are We Rap Stars Now (1999), How's The Level? (2002) dan What's Next (2004)

  • Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

    Peta Laman

    Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
    Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

    Kembali ke atas