Takraw ISTAF: Malaysia serius berdepan China

Takraw ISTAF: Malaysia serius berdepan China

Khairil S Iswan | mkhairil@bh.com.my
2013/09/28

Bangkok: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Jamaluddin Hassan tetap memandang serius pertemuan suku akhir Siri Super ISTAF (ISS) menentang China, di Bangkok, Thailand hari ini yang mungkin mudah buat anak didiknya, bagi memperbaiki segala kekurangan sebelum berdepan lawan lebih setaraf.

Jamaluddin jelas belum berpuas hati dengan prestasi pemainnya dan mahu mereka bangkit andai ingin mengelak kekalahan kepada Korea Selatan yang dijangka ditemui di separuh akhir, sekalipun lawan sama pernah dijinakkan dalam Piala Raja Thai.

“Menentang China, esok (hari ini) saya harap pemain dapat memperbaiki segala kesilapan yang mereka lakukan dan lebih agresif,” kata Jamaluddin, semalam.

Jangan beri muka

“Pemain terlalu terikut-ikut dengan permainan lawan sekalipun saya sudah memberitahu mereka jangan beri muka sekalipun lawan pasukan yang lemah. Ini adalah masa untuk kita cari momentum sebelum bertemu lawan yang lebih sukar.

“China di atas kertas mungkin mudah untuk ditundukkan namun pemain perlu jadikannya peluang untuk meningkatkan permainan mereka,” katanya dengan skuad negara mendapat sehari rehat selepas mengharungi dua perlawanan, kelmarin.

Skuad wanita negara mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B bertemu tuan rumah, Thailand selepas meraih kemenangan percuma kerana Indonesia menarik diri.