Kepala Batas: Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah (DMW) di sini, tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila maut selepas motosikal dinaiki bersama kembarnya terbabit kemalangan di Jalan Paya Keladi, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam jam 7 pagi itu, Mahirah Mohd Sobri, 18, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di muka dan pinggang selepas terperosok bawah kereta Proton Iswara sebaik terjatuh daripada motosikal, manakala kakaknya, Siti Masirah cedera di lutut kanan.
Kawasan gelap

Siti Masirah berkata, ketika kejadian keadaan agak gelap, selain hujan lebat menyebabkan jarak penglihatannya terhad sebelum motosikal Honda Wave yang dinaiki mereka bergesel dengan kenderaan lain.

Anak sulung dari tiga beradik berkata, kembarnya masih bergerak selepas dirempuh, tetapi meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB).

“Sejak beberapa hari lalu, Siti Mahirah menjadi pendiam walaupun sebelum ini dia seorang yang ceria dan gemar bergaul dengan rakan.

“Kebetulan kami sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA) bagi kertas ‘Nahu dan Sorof’ hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal ditunggang kakaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Permatang Saga, Pinang Tunggal dekat sini, ke sekolah.

Katanya, apabila tiba di persimpangan ke Taman Bertam Perdana, motosikal ditunggang mereka bergesel dengan sebuah motosikal lain, menyebabkan Siti Masirah gagal mengawal kenderaan itu lalu terbalik ke kanan jalan, sebelum dirempuh kereta.