Melalui pendekatan baru itu, mangsa akan diperdaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang didakwa sebagai bayaran bon jaminan diri untuk membiayai penajaan mereka apabila tiba di negara terbabit kelak.
Perkara ini didedahkan penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim, yang mendapati kes penipuan sedemikian sudah menyerang warga di negara seperti Filipina dan China.
Beliau yang juga Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) yakin corak perangkap menggunakan faktor ekonomi melalui tarikan kerja palsu di luar negara, akan menular dalam masa terdekat seiring perubahan landskap jenayah siber yang tidak lagi terbatas kepada taktik penawaran barang atau perkhidmatan yang semakin disedari ramai.
“Antara peluang kerjaya palsu yang ditawarkan ialah kononnya di syarikat antarabangsa, pelantar minyak serta dalam sektor pembinaan, manakala mangsa pula dicari secara rawak melalui internet.
“Apabila mangsa terpedaya dan memasukkan wang untuk bon jaminan diri, mereka tidak lagi mendengar khabar daripada pihak yang berurusan itu,” katanya kepada Berita Harian.
