Jabatan Peguam Negara kaji semula undang-undang berkaitan

Putrajaya: Jabatan Peguam Negara menangguhkan semua prosiding berhubung kes Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di mahkamah.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menegaskan semua saman AES yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.
Penangguhan itu bagi membolehkan jabatan mengkaji semula undang-undang berkaitan berikutan percanggahan pendapat sesetengah pihak termasuk beberapa isu yang dibangkitkan berkaitan aspek perundangan dan teknikal.

“Memandangkan kebimbangan yang ditimbulkan pihak tertentu, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengkaji semula pelaksanaan ini.

“Semua prosiding ditangguhkan sehingga kebimbangan berkaitan diatasi dan keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dikaji kembali

Mengulas mengenai empat kes saman yang dilepaskan tanpa dibebaskan, Gani berkata ia akan dikaji kembali dan akan didaftar semula jika boleh dilakukan pendakwaan.
AES dikuatkuasakan JPJ bermula 23 September lalu dan setakat 10 Disember, 14 unit AES dipasang iaitu tujuh di Perak, dua di Selangor dan lima di Kuala Lumpur serta Putrajaya termasuk empat unit bergerak AES.

Sejak penguatkuasaan sistem itu, JPJ mendapati kadar kesalahan trafik di beberapa lokasi strategik berjaya dikurangkan sehingga 75 peratus.

Bagaimanapun, segelintir pihak mempersoalkan penguatkuasaan itu kerana didakwa membebankan pemandu manakala kadar had laju yang ditetapkan tidak sesuai di sesetengah lokasi, selain pertikaian mengenai kadar yang berbeza bagi saman AES berbanding saman polis.

Di Kuala Lumpur, orang ramai yang hadir di Mahkamah Majistret semalam, bagi menghadapi tuduhan membabitkan AES, diarahkan pulang dan tidak dituduh.

Peguam Zulhasmi Sharif, berkata beliau dimaklumkan pihak polis tiada prosiding untuk mendakwa semua pesalah semalam, manakala hanya prosiding untuk sebutan kes diadakan bagi pesalah yang sudah pun dituduh di mahkamah sebelum ini.