Tas tangan Pua Kumbu Antara koleksi tas tangan inspirasi warisan.
Koleksi warisan digayakan secara moden, tampil elegan

Takluk nilai sejagat dalam hamparan koleksi beg warisan pelbagai rupa, hasil kreativiti produk online, Sakura Malaysia. Dalam meniti arus kemodenan, suntikan beg dari jenama ini bakal memeriahkan hari anda kerana ia cukup ringkas, menarik dan menawan.
Campuran rona warna moden dan menghairahkan membuatkan tas tangan seperti beg clutch, silang dan tas genggam wujud memberi inspirasi kepada mereka yang mahukan gaya moden tetapi mencintai koleksi warisan.


Siapa sangka, nilai fabrik seperti batik, mengkuang dan pelbagi fabrik tradisi diadunkan menerusi koleksi Sakura Malaysia yang membuatkan si pemakai bukan saja tampil elegan tetapi mewah dalam bergaya.

Gaya nafas baru

Kehalusan corak fabrik memberikan nafas baru kepada gaya tahun ini. Keindahan lebih terserlah apabila nama klasik dijudulkan atas lebih daripada 10 beg dari koleksi kali ini.

Sakura Shopper, Sakura Sling, Sakura Shoulder, Embun, Chempaka, Kenanga, Ena, Leiha, Maslea, Kaseh Maslea, Melur, Zaitun, Melati dan Mawar memberikan satu kelainan dalam penciptaan antara moden dan klasik.
Jenama yang mengangkat nilai Malaysia seratus peratus menerusi rangkaian warna, fabrik dan corak ini mengembalikan pemakainya dalam dunia klasik seolah-olah benar-benar berada pada zaman klasik tradisi.

Lebih menawan, anda mampu mencipta gaya moden, ranggi, klasik atau santai apabila koleksi ini menjadi pilihan hati.

Koleksi warisan hasil daripada fabrik bernilai seperti Pua Kumbu, batik atau fabrik tradisi ini tidak keterlaluan dikatakan sebagai signatur kepada jenama dengan teknik hasil tangan yang memukau dengan kemasan terperinci.

Khazanah bernilai

Pengasas dan pereka fesyen Sakura Malaysia, Suraya Sharifuddin, berkata sudah menjadi matalamatnya untuk bukan saja melahirkan sesuatu yang cantik tetapi mengangkat martabat warisan menerusi khazanah bernilai yang ada dalam negara ini.

Justeru, lahirlah cetusan rasa daripada fabrik Pua Kumbu dan batik yang selama ini hanya menjadi pakaian harian atau koleksi perhiasan semata-mata.

Melihat potensi fabrik yang cukup indah ini, Suraya mahukan martabatnya lebih diangkat dan fungsinya lebih pelbagai terutama kepada wanita.

“Selama ini kain batik hanya dijadikan pakaian harian dan perhiasan, begitu juga kain dari Pua Kumba. Saya fikir lebih baik fungsinya dipelbagaikan dalam arus kemodenan ini.

“Oleh itu, lahirlah koleksi yang begitu elegan. Idea bermula pada tahun lalu apabila saya memberitahu suami mahu mencipta sesuatu yang berbeza dan mesra alam. Kami bermula dengan beg beli-belah dan hasilnya cukup memberangsangkan sehinggalah terbit pula idea untuk melahirkan beg silang dan genggam yang lebih menarik,” katanya yang juga penggemar tas tangan.

Khidmat komuniti

Wanita berusia 34 tahun ini, berkata lebih meniupkan semangatnya apabila ibu mertuanya menyumbangkan 40 kain batik tempatan yang coraknya begitu indah untuk memulakan perniagaan yang sudah bertapak tahun lalu ini.
Lebih mulia, wanita ini turut sama memberi peluang kepada ibu tunggal untuk memberi keindahan kepada koleksinya sebagai tukang jahit yang dianggap sebagai khidmat komuniti.

“Misi kami juga adalah membawa produk ini ke peringkat global. Setakat ini kami sudah mengedarkan beg kepada pengedar kecil di Sweden, Ireland dan terbaru di Singapura. Tahun depan pula sasaran kami adalah mengikuti mana-mana pameran beg terbesar dan memastikan kuantiti beg juga mencukupi dengan penawaran,” katanya.

Bagi yang berminat, harga yang ditawarkan cukup istimewa bermula dari RM48 hingga RM288 dan boleh didapati secara online di www.sakuranmalaysia.com atau www.fashionvalet.com.