Teman sofa
Pilihan meja kopi, sisi perlu serasi rekaan kerusi

PERNAHKAH anda bertandang ke rumah jiran, rakan atau saudara ketika Syawal ini dan berasa ‘sakit mata’ melihat gandingan kurang sesuai sofa dan meja kopi serta meja sisinya?
Tidak dinafikan, ramai yang sebenarnya kurang menitikberatkan aspek pemilihan meja kopi dan sisi kerana beranggapan aksesori itu bukan keutamaan atau pun disebabkan ia sudah didatangkan sekali dengan pembelian sofa.

Secara asasnya, meja kopi serta meja sisi adalah gandingan dan pelengkap kepada set sofa di ruang tamu. Sesuai namanya, fungsi utama meja kopi adalah menempatkan hidangan khasnya minuman selain tempat melakukan kerja seperti menulis, bermain catur dan sebagainya. Sementara meja sisi berfungsi mempamerkan perhiasan dan koleksi kesayangan dan letaknya di sudut tepi sofa.

Pemilihan reka bentuk

Reka bentuk meja kopi dan sisi lazimnya jarang diambil kira bagi kebanyakan pembeli kerana ditenggelami dengan kehebatan rekaan set sofa. Ditambah, bukan semua orang membelinya dalam satu set disebabkan tertarik dengan meja kopi dan sisi jenis lain yang reka bentuknya lebih menawan dan unik.

Reka bentuk meja kopi serta sisi biasanya mengambil kira asas rekaan sofa secara keseluruhan membabitkan saiz, bentuk, bahan dan warna set sofa berkenaan sekali gus menyenangkan urusan suai padan gaya. Kriteria pemilihan reka bentuk meja kopi serta sisi yang boleh disesuaikan dengan set sofa merangkumi:
Saiz ukuran

Pastikan ukurannya sesuai keseluruhan saiz set sofa. Jangan nanti sofa bersaiz sederhana tetapi memilih meja kopi besar. Selain itu, ketinggian meja perlu diambil kira dan sebaiknya pilih ukuran seragam; tidak rendah sangat dan jangan terlalu tinggi.

Apa yang penting, pastikan ia tidak mengganggu pergerakan. Sebab itu, sebelum beli, anda dinasihatkan mengenal pasti luas ruang terlebih dulu dan sebaiknya, ukur keluasan kawasan bakal menempatkan meja berkenaan.

Pilihan bahan, kemasan dan warna

Pilihan bahannya mesti tepat supaya serasi digandingkan dengan set sofa. Begitu juga dengan jenis kemasan sama ada dari bahan semula jadi seperti kayu, logam, serta plastik. Fikirkan juga gandingannya dengan warna kemasan supaya kehadirannya lebih mengindahkan ruang.

Reka bentuk meja

Meja kopi serta sisi mempunyai pelbagai reka bentuk membabitkan rekaan segi empat tempat, segi tiga, bulat, bujur dan sebagainya. Struktur binaannya terdiri daripada permukaan serta kaki meja.

Konsep gabungan bahan misalnya permukaan meja daripada kaca atau kayu manakala kakinya diperbuat daripada logam menampilkan karektor tersendiri pada meja berkenaan. Bahkan, sesetengahnya dilengkapi laci serta ruang simpanan terbuka digunakan bagi menempatkan majalah dan akhbar.

Sekiranya berhasrat mempamerkan koleksi peribadi, pastikan dimensi meja itu bersesuaian dengan ukuran bahan perhiasan. Tentunya nampak janggal barangan kecil dipamerkan di atas meja besar sedangkan ia lebih sesuai menyeri meja sisi.

Alas meja corak suasana

Ia menjadi penyeri meja. Sungguhpun, alas meja sering dianggap remeh namun di pasaran kini, ditawarkan pelbagai pilihan corak misalnya flora, abstrak dan petak yang memungkinkannya menjadi sebahagian hiasan ruang.

Sebarang fabrik boleh digunakan asalkan sesuai konsep serta tema hiasan dan antara yang popular adalah satin, kapas, renda dan benang bulu kambing. Selain itu, kain jenis polyester (damar atau gentian tiruan) juga boleh dijadikan alas meja. Namun, pilihlah fabrik yang berat supaya nampak cantik dan kemas apabila dihamparkan ke meja dan jika memilih yang polos, serikan ia dengan jahitan tebuk serta sulam tampal.

Namun, apapun jenis fabrik serta gaya diutarakan, pastikan ada penyelarasan warna supaya dilihat seragam dengan meja kopi serta sisi dan perabot utama. Paling mustahak, pastikan ia dilihat selari atau sedondon dengan warna langsir sekali gus menegaskan tema ruang.

Gaya peletakan serta labuh alas meja bergantung cita rasa individu. Ada yang suka melindungi permukaan meja saja sementara sesetengahnya pula mahu menutup permukaan tengahnya dan tidak kurang yang gemar menyelubungi keseluruhan meja.

Bagi meja sisi bulat, disyorkan memilih alas meja labuh rekaan beralun di bahagian kakinya. Sementara, produk semula jadi seperti mengkuang, rotan dan buluh yang diadun menjadi hasil kraftangan menarik diutarakan sebagai alas meja kopi serta sisi.