Terengganu umum  portfolio baru Sultan Mizan menyerahkan watikah pelantikan Menteri Besar kepada Ahmad pada majlis istiadat perisytiharan pelantikan Menteri Besar dan EXCO Terengganu di Istana Maziah.
Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu semalam mengumumkan pembentukan portfolio baru iaitu, Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat dalam senarai baru 11 portfolio kerajaan negeri yang baru.

Pembentukan portfolio baru itu dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengkalan Berangan, seorang muka baru yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), A Latiff Awang.
Gandingan baru, lama


Semua portfolio yang dibentuk itu membabitkan gandingan ADUN muka baru dan lama yang dipercayai mampu membawa perubahan baru sejajar dengan aspirasi rakyat menerusi slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memegang Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Awang (Perindustrian dan Perdagangan) dan ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie (Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).

ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air); ADUN Telemung, Rozi Mamat (Belia dan Sukan dan Sumber Manusia).
ADUN Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat; ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman (Kerja Raya dan Pengangkutan) dan ADUN Hulu, Besut Nawi Mohamad (Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Peladangan dan Komoditi).

Bentuk transformasi

ADUN Bukit Besi, Roslee Daud (Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi) manakala ADUN Ajil, Ghazali Taib dilantik EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas Khas.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar dan EXCO di hadapan Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, di sini, Ahmad berkata, portfolio baru itu diharap dapat membentuk transformasi baru dalam pelbagai bidang bagi pelaksanaan program pembangunan negeri yang akan mempunyai KPI masing-masing.