gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Hazlin anggap teguran bina semangat jadi pengacara berkaliber

LAGI teruk komen yang diterima, lagi bersemangat gadis manis bekas peserta Gadis Melayu musim kedua ini ingin membuktikan kemampuannya. Dengan dorongan keluarga serta pengacara senior di TV3, Hazlin Hussain, 26, meneruskan langkah sebagai pengacara rancangan 999.
Pada awal penampilannya Januari tahun ini, sudah tentu pelbagai ulasan diterima. Saat itu, pedih juga telinga mendengarnya. Apatah lagi dia mampu melihat setiap komen terbabit dengan mata sendiri, di internet. Namun, hatinya tidak mudah patah dengan kata-kata penonton rancangan terbabit, sebaliknya menggunakan teguran mereka sebagai pembakar semangat untuk terus mempertingkatkan persembahan.

Selepas enam bulan mengacarakan program berbentuk fail jenayah yang popular itu, dia mengaku dapat melihat peningkatan pada dirinya. Malah, komen yang pedih dulu pun makin bertukar rupa. Kini, hampir setahun mengendalikan rancangan itu, semakin ramai pengikut setia program berkenaan yang mengesan kebolehannya.

"Bahkan, sebahagian peminat tidak lokek untuk berkongsi idea mereka bersama saya, bagaimana untuk mempertingkatkan lagi persembahan. Contohnya, mereka mahu saya memberikan sedikit senyuman ketika mengacara. Semua itu saya baca dan tentunya saya gunakan, jika bersesuaian dengan konsep rancangan," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Akui Hazlin, dia tidak boleh mudah melatah dengan segala teguran yang dihulur penonton. Lebih-lebih lagi, dia bukannya orang lama dalam bidang berkenaan.

"Saya mengaku, ketika menyertai Gadis Melayu tidak lama dulu, saya ingin menjadikannya platform untuk terjun ke dunia lakonan. Justeru, apabila ditawarkan untuk muncul sebagai pengacara 999, saya terpaksa memikirkannya beratus kali. Karakter saya dan program terbabit nyata berbeza.
"Kerana sukakan cabaran, saya bersetuju dengan peluang diberikan. Saya tidak mahu berada di zon selesa buat selama-lama. Lagi pun, kita pun bukannya sempurna dalam segala-gala. Jadi, segala kritikan harus diterima, baik atau sebaliknya. Semua kesilapan yang dilakukan ialah proses pembelajaran yang sebenarnya amat berguna," ujar Hazlin.

Walaupun tidak lama dulu sedikit pun dia tidak terfikir untuk bergelar pengacara, tetapi demi menyahut cabaran, semuanya kini sudah berubah. Daripada langsung tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang berkenaan, Hazlin merangkak sedikit demi sedikit untuk bertatih sebagai hos program popular.
Tegasnya, dia cukup bertuah apabila disokong pasukan penerbitan yang saling menghulurkan bantuan. Merekalah pada hakikatnya tulang belakang yang kuat memberikan perangsang.

"Bukanlah kini saya dalam keadaan selesa sebagai hos, tetapi rasanya saya berada di landasan yang betul. Sekarang, saya boleh melihat karier pengacaraan sebagai kerjaya. Ia karier yang sebenarnya boleh membawa saya jauh ke depan. Keadaan ini tentunya sangat berbeza 10 bulan yang lalu. Justeru, saya bersyukur apabila ada pihak yang dapat menghidu bakat yang ada pada diri saya," katanya yang cukup berterima kasih kepada pengacara senior seperti Mazidul Akmal Sidik, Ally Iskandar dan Nurfarahin Jamsari atas segala tunjuk ajar diberikan.

Elak dicop Zakiah Anas kedua

SEMEMANGNYA diketahui umum, 999 begitu sinonim dengan seorang lagi personaliti TV3, Zakiah Anas. Bertahun-tahun, wanita terbabit membina nama dan karier bersama program yang mendapat tempat di hati peminat. Lalu, apabila dia meninggalkan program berkenaan, tentunya penonton masih terbayangkan Zakiah di depan kamera, walaupun insan lain kini menggantikan tempatnya.

Paling tidak, mereka mungkin mahukan seorang lagi ‘Zakiah’ mengacarakan program berkenaan. Cukup menyedari hakikat itu, Hazlin sebaliknya tidak cepat panik atau menggelabah.

"Pastinya saya inginkan gaya pengacaraan sendiri apabila mengendalikan 999. Seboleh-bolehnya saya mahu mengelak daripada disamakan dengan gaya Zakiah. Menerusi tunjuk ajar senior, saya ketengahkan gaya saya sendiri. Saya ingat pesan Ally supaya melakukannya dengan cara yang saya selesa, tanpa perlu mengikut mana-mana pengacara sedia ada. Dia banyak perturunkan petua kepada saya," kata gadis peramah ini.

Program pertama yang pernah dikendalikannya, 999 juga kini menjadi tumpuan utama Hazlin, walaupun minatnya terhadap lakonan tidak pernah padam.

Diajukan pertanyaan apakah dia akan menerima tawaran berlakon jika ada penerbit yang berkenan padanya, wanita muda ini menguntumkan senyuman sambil memaklumkan, kesibukannya bersama program terbabit tentu sekali membataskan sedikit waktu untuk dia melakukan dua perkara pada masa yang sama. Maklum saja, bukan sekadar mengacara, malah dia juga turun padang sebagai wartawan penyiaran.

"Jika ada tawaran sekalipun, saya tidak boleh menerimanya begitu saja. Banyak aspek yang perlu diambil kira, supaya imej saya sebagai pengacara rancangan ini tidak bertentangan dengan watak dalam filem berkenaan," katanya yang bercita-cita bergelar produser rancangan pula, pada masa depan.

Hazlin Hussain
  • Tarikh Lahir: 16 Disember 1983
  • Profesion: Wartawan Penyiaran dan Pengacara 999
  • Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Perbankan, UUM
  • Pencapaian: Finalis Gadis Melayu musim kedua (kontemporari).