login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Rabu , 30 Julai 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Kembara
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Teroka Kota Kanggaru
Oleh Rohaniza Idris

2012/01/29

pix_gal0
Rasai keunikan tersendiri sembilan bandar Australia

AUSTRALIA bukan hanya destinasi percutian untuk alam semula jadi tapi juga kaya dengan keindahan bandarnya yang moden dan penuh dengan tarikan kebudayaan, keindahan bangunan dan sejarah Orang Asli.

Banyak pengalaman boleh dikutip dan dirasai jika berkunjung ke bandar-bandar di Australia yang dinamik dan berbeza mengikut budaya masyarakat setempat.
Setiap bandar di Australia bukan saja unik, tetapi setiap lokasi menawarkan gaya hidup yang santai di tepian pantai, adunan budaya termasuk tarikan teater, hidangan enak di restoran dan kehidupan malam yang penuh dengan pelbagai acara menarik.
Selain itu, beberapa bandar di Australia menawarkan pemandangan bangunan pencakar langit serta pusat beli-belah yang terletak berhampiran dengan kawasan pergunungan, lautan, sungai dan hutan.

Jika berkesempatan ke Sydney, rasailah kembara berjalan kaki di sekitar pelabuhannya, Sydney Harbour yang bukan hanya menawarkan pemandangan menarik marina tempat kapal layar berlabuh malah tempat bersantai dan membeli-belah cenderamata.

Di kota ini pelancong boleh berjalan sambil mengunjungi butik, kedai dan gerai pelbagai barangan di Great Coastal Walk, yang mengunjur dari Barranjoey hingga ke Cronulla di bahagian selatan. Selain itu, Sydney juga memiliki tarikan seperti tanjung tinggi yang dramatik, cenuram batu pasir, pantai keemasan, lagun yang subur dan belukar asli. Sepanjang perjalanan ke kawasan itu pelancong akan dapat mengunjungi monumen Orang Asli dan sejarah penjajah.

Menjelajah ke kawasan semula jadi di Sydney lazimnya mengambil masa lapan hari tetapi jika tiada masa yang banyak pilih saja destinasi sekitar bandar menggunakan pengangkutan awam atau berkhemah di gua rahsia dan taman negara atau tinggal di sub bandar tepi pantai yang indah pemandangannya di pekan Manly dan Bondi.
Di Melbourne pula pelancong disaran mengunjungi lorong-lorong sekitar bandar yang diturap dengan batu bundar yang menawarkan pemandangan bandar yang menarik. Di bandar ini pengunjung boleh menikmati gaya hidup masyarakat setempat yang suka bersantai di bar dan kelab mewah selain menikmati pameran seni di galeri serta membeli belah di butik yang eksklusif.

Bagi penggemar kopi, boleh menikmati sarapan pagi dengan kopi yang enak di Degraves Street dan Centre Place manakala pencinta muzik boleh melihat sendiri persembahan jaz di Bennetts atau Manchester Lane. Untuk makan tengah hari dan malam, apa kata kunjungi saja restoran bawah tanah di George Parade atau restoran di Chinatown sepanjang Little Bourke Street.

Pada musim panas, biasanya ada banyak kumpulan muzik membuat persembahan di Hardware Lane yang bersejarah manakala Flinders Lane menjadi tempat tumpuan mereka yang sukakan fesyen pakaian yang unik dan eksotik. Bagi penggemar seni visual boleh melawat mural grafiti di Union Lane.

Satu lagi destinasi yang mesti dikunjungi jika ke Australia adalah Canberra. Ini kerana Canberra menawarkan percutian bagi mereka yang mahu melihat pemandangan dari udara termasuk merasai pengalaman menaiki belon udara panas.

Dengan menaiki belon itu, pelancong akan dapat melihat keseluruhan bandar raya Canberra yang direka bentuk sangat teliti dan teratur. Bandar ini juga banyak monumen, galeri dan taman tema di sepanjang tebing Tasik Burley Griffin.

Di Canberra juga pelancong boleh mengunjungi 'Parliament House', yang mana terletaknya tiang benderanya setinggi 81 meter dan keunikan susunan jubin cetusan ilham lukisan titik Gurun Tengah. Pelancong juga boleh meninjau banyak bangunan ikonik di bandar ini serta taman awam di sub bandar yang elegan.

Jika sukakan percutian yang bersejarah, disarankan berkunjung ke Brisbane. Pengunjung boleh menyelami kebudayaan di South Bank dengan berkunjung ke muzium, galeri, rumah teater dan balai lukisan di bawah satu bumbung yang mempunyai reka bentuk seni bina unik di Queensland Cultural Centre (Pusat Kebudayaan Queensland).

Mereka yang teringin melihat rangka dinosaur boleh pergi ke Muzium Queensland dan alami keseronokan pameran sains interaktif di Sciencentre atau Pusat Sains. Untuk melihat karya seniman Australia, kunjungi Queensland Art Gallery dan bagi seni persembahan boleh menonton balet, opera atau orkestra di salah sebuah teater di Queensland Performing Arts Centre.

Selepas menyelami kebudayaan, anda boleh merayau-rayau di taman tepi sungai South Bank, berenang di lagun berpasir atau menjamu mata di pasar-pasar minggu yang berwarna-warni.

Di Adelaide pula pelancong disaran melawat Central Market yang menjual pelbagai hasil pertanian dan ternakan yang dibuka dari hari Selasa hingga Sabtu. Pelbagai hasil pertanian dijual seperti buah-buahan dan sayur-sayuran organik, daging dan ayam itik premium, makanan laut yang ditangkap atau diternak nelayan tempatan, keju, produk tenusu dan bakeri.

Selain membeli barang segar pelancong boleh berkunjung ke restoran di sekitar Central Market dan jika bernasib baik dapat melihat chef selebriti mengadakan demonstrasi masakan, kelas memasak atau menikmati keunikan pasar bersejarah gabungan pengaruh budaya masyarakat setempat.

Di Perth, pelancong boleh melakukan aktiviti sukan air di sepanjang Swan River di Perth termasuk meluncur angin dan belayar ke teluk berpasir serta pantai seindah Matilda Bay.

Biasanya pelancong boleh menyewa jet-ski atau rasai pengalaman penuh cabaran dengan para layar dan ski air. Selain itu, pelancong juga boleh memancing ikan brim, mulloway dan taylor di pinggir sungai. Selain itu, pengunjung boleh berlayar dari Barrack Square, melepasi rumah agam tepi sungai untuk tiba ke pelabuhan Fremantle yang sibuk.

Jika ke kota Darwin, jangan lupa merasai sajian eksotik makanan laut dan pemandangan air yang mempesona di salah sebuah restoran di kawasan pelabuhan. Di kota ini juga pelancong boleh melihat pemandangan merah jambu matahari terbenam, menariknya pengunjung dihidangkan minuman ‘sparkling’ Australia yang enak selain menikmati tiram segar dengan perahan jus limau.

Hidangan makanan laut boleh dinikmati di restoran sepanjang Teluk Cullen seperti udang galah panggang. Sambil menjamu selera, anda boleh menyaksikan bot, kapal layar dan perahu berlegar di marina.

Satu lagi kota yang boleh dikunjungi adalah Hobart, Tasmania yang dulunya tempat persinggahan pelayar, pemburu ikan paus dan kelasi kapal. Medan Salamanca Place adalah pusat pelancongan utama di Hobart, yang mempunyai banyak tempat untuk makan dan minum.

Gudang ala Georgian yang unik dengan kaca dan krom berkilauan di atas batu pasir 1830-an sudah diubahsuai menjadi galeri, teater, kafe, bar dan restoran. Pengunjung boleh berkunjung dan bersiar-siar pada hari Sabtu untuk melihat kemeriahan pasar minggu yang menjual hasil pertanian dan kraftangan.

Destinasi seterusnya adalah kota Cairns yang sentiasa meriah terutama di Esplanad pinggiran pantai yang mana pelancong serata dunia bersantai dengan berjemur dan berenang di lagun air masin yang luas.

Di kota ini ada kedai, bar, hotel dan restoran yang mewah manakala sepanjang Jalan McLeod dipenuhi pelancong yang sukakan persembahan muzik secara langsung oleh karyawan tempatan.

Jadi apa kata rancangan percutian anda ke bandar-bandar Australia untuk musim cuti akan datang dan dapatkan maklumat lanjut di http://www.australia.com.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas