Dunia

Thailand catat rekod khidmat urut



Juru terapi memulakan rawatan urut besar-besaran untuk mencatat rekod di dalam Guiness World Record.

Bangkok: Reputasi Thailand sebagai ibu kota urutan dunia tidak dapat disangkal lagi apabila buktinya kini terpapar dalam Guinness World Record.

Kira-kira 641 pakar terapi urutan mengurut 641 pelanggan secara serentak selama 12 minit untuk mendapat penghormatan itu semalam di sebuah arena tertutup di Bangkok. Acara itu dianjurkan Kementerian Kesihatan bagi mempromosikan industri urut dan spa negara itu.


Lebih ramai

Pakar terapi itu sekali ganda lebih ramai daripada rekod sebelum ini yang dibuat di Australia pada tahun 2010 apabila 263 orang diurut pada masa sama selama lima minit.

“Ia mudah kerana ini apa yang kami lakukan setiap hari untuk hidup. Saya bangga dengan diri dan kerjaya saya. Saya tidak pernah terfikir kami berpeluang diiktiraf seperti ini,” kata salah seorang tukang urut yang mengambil bahagian dalam acara yang kebanyakannya disertai wanita, Chayanan Chanwuttisawan, 53.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, mempengerusikan acara itu, dan wakil kanan Guinness Records, Rob Molloy, berada di situ untuk mengesahkan perkara itu.


Seni Purba

Walaupun sebahagian pusat urut Thailand dianggap bertindak sebagai landasan pelacuran, banyak lagi spa yang beroperasi secara sah dan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada aromaterapi kepada urutan kaki hingga urutan tradisional Thai, seni purba yang ditawarkan di kedai seluruh Bangkok yang masih diamalkan dan diajar di kuil Wat Pho bandar raya itu.

Urutan tradisi berlanjutan sehingga dua jam. Versi singkat yang dipamerkan semalam ketika pakar terapi, berpakaian tradisional, menunjukkan kemahiran mereka di atas hamparan tikar biru nipis yang dibentangkan menutup lantai arena tertutup itu.

Chayanan berkata, terapi yang mengambil bahagian diberi cakera padat dari Kementerian Kesihatan untuk berlatih. Mereka adalah sebahagian daripada anggaran 50,000 tukang urut di seluruh negara.

Kementerian berkata dalam satu kenyataan semalam industri itu menjana sekurang-kurangnya 13 bilion baht (RM1.3 bilion) setahun. - AP