Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata kajian menyeluruh itu dilakukan ikhlas semata-mata untuk memastikan negeri yang ekonominya jauh di belakang terus dapat dibangunkan.
Sebenarnya tiada keperluan (penubuhan jawatankuasa) sebab pengeluaran minyak bukan dalam perairan negeri Kelantan, tapi atas keprihatinan Perdana Menteri untuk pastikan negeri Pantai Timur dapat sumbangan wang tunai untuk rakyat.
Wang tunai untuk bantu ini juga bukan perkara baru, kerajaan sudah beri sejak 2009 menerusi pejabat pembangunan negeri, kalau baru, mungkin nampak usaha politik pilihan raya, katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Pemimpin pembangkang mempertikai usaha itu yang disifatkan tidak ikhlas dan mempunyai motif sebagai strategi kerajaan meraih kemenangan besar pada PRU-13.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata pembangkang tidak perlu risau dengan usaha kerajaan Barisan Nasional sebaliknya memberi kerjasama dengan memberi pandangan bernas.
Kita buat sebab tujuan untuk sampaikan duit kepada rakyat bukan nak bagi duit kepada kerajaan negeri Kelantan. Yang penting mekanisme yang dibuat nanti adalah telus supaya sampai kepada golongan sasaran.
Saya harap pembangkang jangan cetek pemikiran dan lihat dari sudut politik semata-mata, katanya.
Mengenai permintaan kerajaan PAS Kelantan yang mahu kajian dilakukan kurang dari enam bulan atau sebelum pilihan raya, Khairy berkata tempoh masa diberikan itu hanya sebagai panduan.
Kalau boleh dipercepatkan, saya pasti jawatankuasa akan berbuat demikian selepas mengambil kira semua aspek tuntutan dan syor yang sesuai, katanya.
