SAYA amat tertarik dan ingin memberikan maklum balas terhadap komen bertajuk ‘syor kakitangan awam lahir anak keenam diberi gaji penuh’ oleh ‘Tak Sempat Bersalin, Ipoh Perak’ dan ‘Hazimy Hassan, Kuala Lumpur’ yang disiarkan pada 30 Mei dan 4 Jun lalu.

Tersenyum saya seketika dibuatnya. Inilah yang dikatakan ‘sudah diberi betis, hendak paha pula’. Suka saya mengingatkan pihak yang mengesyorkan itu, mereka sudah pun dibayar gaji penuh tanpa bekerja dan tanpa melakukan apa-apa pekerjaan atas alasan cuti bersalin selama 10 bulan (lebih kurang 300 hari) untuk lima anak yang lalu. Adakah mereka sedar atau tidak akan hal itu?
Pada masa sama tempat ‘kosong’ yang ditinggalkan itu, bebannya akan terpaksa ditanggung oleh rakan sejawat dan ini sudah tentunya menambahkan beban tugas sehariannya. Secara tidak langsungnya perkara ini boleh menjejaskan tumpuan dan produktivitinya.


Selain daripada itu besar kemungkinan, pihak kerajaan terpaksa menggajikan orang lain pula (mungkin pekerja kontrak) untuk menggantikan mereka melakukan urusan seharian yang sebelum ini sudah diamanahkan kepada mereka.

Di sini kerajaan terpaksa berbelanja lebih atau dengan lain perkataan ‘membazirkan’ wang rakyat semata-mata untuk mereka yang bersalin.. Itu untuk satu orang, bagaimana pula jika ada yang bercuti bersalin dalam jumlah yang ramai?.

Tidak dinafikan dan sememangnya betul anak itu anugerah dan amanah Allah SWT kepada pasangan yang berkahwin dan menginginkan zuriat. Jangan dilupa ia adalah satu tanggungjawab setiap ibu bapa dalam membesarkan serta memberikan penjagaan dan pendidikan sempurna.

Tidakkah terfikir akan perbuatan ‘mengandung dan bersalin’ itu adalah kerja dan perbuatan manusia itu sendiri? Manusia yang merancangnya tetapi Allah menentukan. Jika kita semua bijak merancang dengan baik, Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik dan jayanya.
Persoalan di sini, apakah rasionalnya inginkan anak begitu ramai hingga melebihi lima atau enam orang atau lebih? Mereka sudah pun mempunyai lima anak, sepatutnya terlebih dulu berfikir sebelum ‘membuat’ atau mengandungkan anak ke enam atau mungkin lebih.

Pengadu ‘Tak Sempat Bersalin’ dan Hazimy Hassan ada menyatakan kos sara hidup meningkat, anak ramai, harga barang dan perkhidmatan meningkat, tetapi yang hairan bin peliknya masih mahu menambahkan ‘beban’ serta tanggungjawab!
Sepatutnya kita kena cuba sedaya upaya untuk mengurangkan beban atau kos tanggungan.

Cukupkah perbelanjaan bulanan masa kini? Lebih-lebih lagi jika tinggal di bandar besar seperti Ipoh dan Kuala Lumpur ini. Terbelakah nanti hak keperluan harian, pendidikan serta pembelajaran untuk setiap anak mereka nanti?

Jangan nanti akhirnya, kerajaan pula dipersalahkan lagi kerana tidak memberi dan menaikkan gaji secukupnya. Ini kerana beban mereka sekeluarga sudah bertambah, anak ramai dan mungkin pendapatan bulanan juga kecil.

Kakitangan wanita di negara ini terutama pengadu amat bernasib baik kerana bekerja dengan kerajaan Malaysia dalam sektor awam yang amat prihatin, pengasih lagi penyayang ini.

PEGAWAI KANAN 44,
Shah Alam, Selangor.