Mumbai: Tiga beradik berusia antara enam dan 11 tahun dilaporkan dirogol dan dibunuh sebelum mayat mereka dihumban ke telaga di sebuah kampung di barat India, kata polis semalam.

Mayat tiga pelajar sekolah perempuan itu ditemui minggu lalu, dua hari selepas mereka dilaporkan hilang dari rumah di kampung Lakhni, daerah Bhandara, Maharashtra sejak 14 Februari, kata Pesuruhjaya Polis, Aarti Singh.
Mayat tiga beradik dalam perigi

Bedah siasat mengesahkan budak perempuan terbabit dirogol dan kemudian dibunuh," Aarti Singh, Pesuruhjaya Polis Mumbai

“Mayat tiga budak perempuan itu ditemui dalam sebuah perigi dengan beg serta kasut sekolah mereka,” kata Singh kepada AFP melalui telefon dari Nagpur, sambil menambah mangsa masing-masing berusia enam, sembilan dan 11 tahun.

“Bedah siasat mengesahkan bahawa budak perempuan terbabit dirogol dan kemudian dibunuh.”

Tiada tangkapan dibuat tetapi Singh berkata empat orang ditahan untuk soal siasat dan siasatan masih lagi dijalankan.

Ahli keluarga mangsa berkata budak perempuan berkenaan keluar untuk mencari ibu mereka yang tiada di rumah dan sejak itu tiada berita mengenai mereka lagi.
Insiden berkenaan turut membawa bantahan penduduk kampung, kata Singh, menambahkan kemarahan selepas kejadian di New Delhi apabila seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun dirogol dan dibunuh dalam sebuah bas dalam kejadian Disember tahun lalu.

Insiden berkenaan mencetuskan perdebatan di seluruh negara mengenai layanan terhadap gadis dan wanita selain keselamatan mereka di India. - AFP