Laman Utama » Sarawak
Tiga calon bertembung ketika turun berkempen
Pasar Utama Bintulu jadi medan wakil raih undi kawasan
BINTULU: Tiga calon – dua mewakili Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertembung sesama sendiri ketika mengunjungi penjaja serta pengundi di Pasar Utama Bintulu dan Tamu Bintulu yang terletak berhampiran, di sini, pagi semalam.
Dua calon BN itu ialah Henry Ling Kuong Meng yang bertanding kerusi Kidurong dan Datuk Talib Zulpilip (Jepak), manakala calon PKR, Abdul Jalil Bujang yang mencabar Talib.
Henry Ling yang juga Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Bintulu, menemui penjaja dan pengundi di Pasar Utama Bintulu, sejak jam 7.30 pagi. Ketika sibuk bersalaman untuk memperkenalkan diri, beliau terserempak dengan Abdul Jalil, yang dibantu penyokongnya sedang mengedarkan risalah kempen PKR.
Mereka berdua sempat bersalaman dan berbual mesra sambil melambai tangan kepada penjaja serta orang ramai yang menyaksikan insiden itu.
Pasar Utama Bintulu menjadi tumpuan orang ramai bandar ini setiap hari untuk membeli barang runcit, sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan.
Selepas itu, Henry Ling mengunjungi Tamu Bintulu yang menjual pelbagai hasilan kebun, hutan, kuih-muih kering, ikan kering, cencaluk dan belacan Bintulu oleh Bumiputera yang terletak bersebelahan. Dalam perjalanan ke Tamu Bintulu, Henry Ling bertemu pula dengan Talib yang sedang menuju Pasar Utama Bintulu.
Ketika bertemu mereka berdua bersalaman dan ketawa sambil mendengar teriakan hidup BN oleh penyokong BN yang mengiringi kedua-dua calon itu.
Sebelum itu, ketika sedang menyemat lencana BN pada baju seorang penumpang van sewa di tepi Pasar Utama Bintulu, Talib bertembung dengan pencabarnya Jalil.
Talib yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) meluangkan masa lebih dua jam, bertemu penjaja untuk mengingatkan mereka agar menggunakan hak sebagai pengundi pada 16 April ini.