Tiga maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat ANGGOTA Bomba mengeluarkan mangsa yang maut di Kilometer 129.5 Lebuhraya Timur Barat dekat Jeli, hari ini. Gambar kecil, Nor Roslina Omar bersama anaknya Wan Husna Wan Sabri antara yang maut dalam kemalangan berkenaan. - Foto Azlan Hafeedz/ Ihsan Bomba dan Penyelamat Jeli
JELI: Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan jalan raya apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 129.5 Lebuhraya Timur Barat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Sheik Azhar Sheik Omar berkata mangsa yang
terbunuh ialah pemandu kereta, Konstabel Wan Sabri Wan Hamat, 47, isterinya Nor Roslina Omar, 34, dan Wan Nur Husna, anak perempuan pasangan itu yang berusia tujuh bulan.


Seorang lagi anak mereka, Wan Nurhaqimah, 4, hanya cedera ringan manakala pemandu lori tanpa muatan itu tidak cedera.

Bercakap kepada pemberita, Sheik Azhar berkata siasatan awal mendapati
kereta jenis Proton Wira yang dinaiki keluarga itu dipercayai terbabas sebelum
bertembung dengan lori terbabit.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, keluarga tersebut dalam perjalanan
dari Kota Baharu menuju ke Gerik, Perak, manakala lori itu dari arah
bertentangan.

Jenazah ketiga-tiga mangsa yang maut di tempat kejadian dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat manakala Wan Nurhaqimah dirawat di hospital sama.

Sheik Azhar berkata Allahyarham Wan Sabri, yang berasal dari Pasir Puteh, dalam perjalanan pulang untuk bertugas di balai polis Kampung Lalang, Gerik selepas menyambut Aidilfitri di kampung halamannya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mat Yusoff Hamad berkata lima anggota dengan sebuah jentera bomba berada di tempat
kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. - BERNAMA