Mutakhir
Tiga polis palsu kecundang selepas aktif menyamun
2011/09/30
TAMPIN: Aktiviti tiga polis palsu yang mengganas di sekitar negeri ini dan Kedah akhirnya tumpas selepas mereka ditahan melalui satu operasi khas yang membabitkan anggota dan pegawai dari polis Tampin dan Putrajaya, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Wooi Kooi Chang berkata polis palsu itu terdiri daripada tiga lelaki termasuk dua adik-beradik yang berusia di antara 31 hingga 45 tahun.
"Mereka terbabit dalam jenayah samun di sekitar Port Dickson, Grik dan Alor Setar. Kesemua mereka ditahan dalam sebuah rumah di Putrajaya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin hari ini.
Katanya serbuan itu dibuat berdasarkan laporan polis oleh seorang mangsa samun yang menginap di sebuah hotel murah di pekan ini pada minggu lalu di mana beliau didatangi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Lelaki tersebut turut menunjukkan gari dan memakai topi yang mempunyai logo polis sebelum menyamun mangsa, katanya lagi.
Berdasarkan laporan mangsa, polis Tampin menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes ini dan membuat lakaran fotofit penjenayah terbabit, katanya.
"Kita kemudian berjaya mengesan suspek dan rakannya yang terbabit dalam tujuh kes yang serupa dan melakukan tangkapan di Putrajaya. Aktiviti penjenayah ini mencapai kemuncaknya pada Ogos dan September," katanya.
Kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan dadah, polis juga menjumpai 65 telefon bimbit, kamera digital, walkie talkie, lima komputer riba dan wang tunai yang dipercayai milik mangsa-mangsa samun.
Ketiga-tiga lelaki yang tidak bekerja itu ditahan reman di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut. - BERNAMA