Tiket bas, kereta api mencukupi menjelang Aidilfitri

Tiket bas, kereta api mencukupi menjelang Aidilfitri

2012/07/29

Kuala Lumpur: Warga kota tidak perlu bimbang mengenai masalah pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman pada Aidilfitri ini kerana tiket bas masih dijual.

Jaminan itu diberikan Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali.

Beliau berkata, bas tambahan akan disediakan, terutama ke pantai timur dan utara Semenanjung.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya menempah dan membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan ketiadaan bas pada saat akhir.

Tempahan awal

“Tempahan awal akan memudahkan pengusaha menyediakan bas tambahan mengikut jumlah tiket dibeli. Mereka juga perlu membeli di kaunter bagi memastikan tidak tertipu dengan ulat tiket,” katanya kepada BH AHAD.

Beliau berkata, ia bertujuan mengelakkan kerugian kerana pengusaha bas terpaksa mengikut prosedur ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum menyewa bas.

“Walaupun ada pihak yang mengatakan tiket sudah habis, pengguna masih boleh membelinya dengan syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan bas tambahan.

“Kita tidak ada masalah untuk menyediakan bas bagi menampung keperluan penumpang ketika cuti raya.

“Tahun lalu, sebanyak 2,000 bas tambahan disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Noordin Kimi, berkata sebanyak 35,000 daripada 71,800 tiket bagi perjalanan 13 hingga 26 Ogos depan habis dijual.

Beliau berkata, KTMB akan menambah tren untuk memberi peluang kepada penumpang yang membeli tiket pada saat-saat akhir, pulang ke kampung menaiki kereta api.
“Penambahan perjalanan kereta api itu bergantung kepada permintaan dan jumlah koc yang boleh digunakan,” katanya.