Wilayah
Timur: Jasad air terkumpul punca gegaran di Tasik Kenyir
2010/03/15
KUALA TERENGGANU: Gempa bumi lemah di Empangan Kenyir Rabu lalu, dipercayai berlaku akibat ketidakseimbangan kawasan tasik buatan manusia terbesar itu dengan penempatan berhampiran, selain pereputan bahan organik di dasar tasik yang menyebabkan jasad air terkumpul dalam jumlah besar.
Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi (Kejuruteraan Air) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Ir Dr Ahmad Jusoh, berkata sifat tidak semula jadi tasik itu menyebabkan berlaku ketidakseimbangan pada jasad air yang terkumpul, sekali gus mencetuskan gegaran kecil.
Katanya, jasad air terkumpul di tasik membawa satu beban berat dan memberi tekanan pada struktur dasar tasik yang boleh menyebabkan gegaran kecil berlaku.
"Pereputan bahan organik di dasar tasik mungkin menyebabkan wujud lubang baru yang dimasuki air dan menghasilkan gas sehingga meletuskan gegaran kecil dan keadaan ini diibaratkan seperti jongkang-jongkit, kerana bahagian ditakungi air menjadi berat kerana ia bukan tasik semula jadi.
"Allah SWT mencipta gunung, tasik, laut dan sungai mengikut keseimbangan dan dalam kes ini, berlaku ketidakseimbangan jasad air yang begitu besar terkumpul di kawasan itu. Kita tidak menolak kejadian ini hampir sama dengan kes lebih 20 tahun lalu ketika proses pengisian air di empangan itu ," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan, satu gempa bumi lemah berukuran 2.6 skala Richter berlaku di Tasik Kenyir, berpusat 43 kilometer (km) barat daya Kuala Terengganu dan 22 km barat Kuala Berang dan dikatakan mungkin berkait dengan kejadian sama di kawasan itu lebih 20 tahun lalu atau disebabkan proses pelepasan gas tektonik.
Gempa bumi itu tidak menyebabkan runtuhan batu bukit atau pokok tumbang, malah penduduk seperti di Kampung Kueh, Kuala Dura dan Kampung Jenagor yang paling hampir dengan Stesen Jana Kuasa Hidroelektrik Kenyir di Empangan Kenyir di sini, langsung tidak menyedari kejadian itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jenagor, Saidi Mamat, 52, berkata penduduk tidak berasa sebarang gegaran dan menjalankan urusan harian seperti biasa.
"Saya terkejut mengetahui ada gempa bumi di Empangan Kenyir dan segera menghubungi rakan di stesen jana kuasa empangan itu untuk mendapat kepastian.
"Kita bimbang jika kesan gempa bumi itu boleh menyebabkan empangan pecah dan kejadian ini sangat sensitif kerana kami tinggal berhampiran empangan,” katanya.
Beliau mengakui gempa bumi berlaku di situ pada 1986 dan gegarannya turut dirasai penduduk di beberapa kampung sekitar, tetapi tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Mohd Napiah Bakar, 45, dari Kampung Kuala Dura, kira-kira tiga kilometer dari empangan itu juga hanya mengetahui berlaku gempa bumi selepas dimaklumkan rakannya.
Pengusaha bot pelancong di Empangan Kenyir, Mohd Sapawi Hitam, 52, berkata, beliau terkejut apabila ramai pelancong dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menghubunginya bertanyakan gempa bumi di empangan itu.
"Saya memaklumkan kepada pelancong tidak berlaku kejadian itu di sini," katanya.