Laman Utama » Sarawak
'Tindakan jijik roboh poster BN'
MIRI: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Pujut, Andy Chia Chu Fatt menyifatkan tindakan merobohkan poster besar BN oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai jijik dan pengecut.
Andy yang bertanding mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2006 berkata, kejadian itu mencemarkan imej Miri dan Sarawak yang terkenal dengan budaya beradat serta tidak agresif melulu.
Berikutan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pusat di sini jam 10 pagi semalam dan Andy Chia meminta penyokong BN bertenang serta tidak bertindak balas terhadap kejadian itu.
“Serahkan kepada polis, kita tak tahu siapa yang buat. Peliknya, kenapa hanya papan poster BN saja yang tumbang, sedangkan poster DAP tak terusik. Itu kena siasat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian.
Poster sepanjang tiga meter itu dipasang di bulatan Kampung Piasau Utara ditemui tumbang pagi semalam. Kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam tadi hingga awal pagi semalam. Sebahagian daripada poster mengandungi logo BN dan gambar Andy Chia bersama rakyat dikoyakkan, manakala tiang kayu dirobohkan.
Andy Chia sendiri hanya menerima maklumat kejadian melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) pada jam 7 pagi semalam.
Walaupun enggan menganggap perbuatan itu sebagai sabotaj terhadapnya, Andy Chia menyifatkannya sebagai kejadian serius dan perlu dielakkan.