Laman Utama » Sarawak

Tom, Jye meriahkan persada fesyen negara

Share |


2011/04/09
Tom Abang Saufi
Tom Abang Saufi
KUALA LUMPUR: Kehadiran Tom Abang Saufi, pereka fesyen berasal dari Sarawak di majlis berprestij dengan gayanya melambangkan seni kreatif masyarakat pribumi Sarawak menerusi penampilan ranggi, sering mencuri perhatian jurugambar.

Seorang lagi anak kelahiran Kuching muncul memeriahkan persada seni fesyen, Jye atau nama sebenarnya Abang Mohamad Ruzaimie Saimi, 25. Walaupun belum popular seperti pereka fesyen bertaraf selebriti, nama Jye sekurang-kurangnya sudah meniti di kalangan beberapa artis dan orang kenamaan. Beliau pernah mencipta baju untuk penyampai radio HotFM, Faizal Ismail dan Bob AF untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) tiga tahun lalu.

Jye juga mereka pakaian untuk pengacara MyTV3, Sheera Aiyob untuk AJL 2010, baru-baru ini.

Selain rekaan batik, anak muda dari Bumi Kenyalang itu juga mampu mereka baju untuk majlis makan malam, majlis permaidani merah, perkahwinan dan hari ulang tahun.

Tidak cukup dengan itu, Jye kini mahu memperkenalkan label sendiri dengan nama Jyeik Couture iaitu Jyeik daripada singkatan ‘Jye youth edition in knack’.
Katanya, beliau pernah menyertai Minggu Fesyen MIFA (Malaysia International Fashion Alliance) November lalu dengan menampilkan beberapa rekaan di bawah label Jyeik Couture.

“Saya juga pernah menyertai pertunjukan fesyen di bawah Young Designer Arena (YODA) dan daripada rekaan itu saya menempa nama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, projek seterusnya ialah menyediakan rekaan baju bagi album penyanyi Adzrin Adzhar yang akan terbit tidak lama lagi.

Selain rekaan peribadi, Jye bekerja sepenuh masa di Sutra Kasih Batik, Kuala Lumpur dengan mereka cipta pakaian berasaskan batik Melayu.

Jye berkata, beliau mengikuti Sijil Fesyen dan Pakaian di Kolej Komuniti Kuching pada 2004, iaitu beberapa bulan selepas menamatkan persekolahan.
Artikel Lain