Nasional

Transformasi hebat UMNO perjuang Islam pikat ulama



Mohd Syamsul Mohd Yusoff, Ahli Jawatankuasa Utama Minda Pondok Kelantan.

Dakwaan PAS calon dipilih untuk raih undi tak benar

Kota Bharu: UMNO kini sudah melakukan transformasi lebih hebat dalam memperjuangkan Islam berbanding PAS sehingga menyebabkan alim ulama tertarik menyertai parti itu.

Ahli Jawatankuasa Utama Minda Pondok Kelantan, Mohd Syamsul Mohd Yusoff, berkata PAS yang cemas dengan keadaan itu membuat tuduhan tidak berasas dengan mendakwa UMNO hanya memilih calon ulama hanya untuk meraih undi.

“Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, menuduh UMNO memilih golongan ulama sebagai calon pada pilihan raya umum untuk meraih undi, adalah tidak berasas.

PAS Kelantan tertekan

“Sebenarnya PAS Kelantan kini sudah tertekan dengan pelbagai transformasi dilakukan Najib yang berusaha memperkasakan Islam, sehingga sanggup melontar pelbagai tuduhan serta tohmahan kepada UMNO selain sokongan tinggi terhadap Barisan Nasional (BN),” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Che Abdullah ketika berceramah di Wakaf Baru, di sini, malam kelmarin, dengan menuduh jika benar UMNO menjadikan ulama sebagai calon, maka golongan itu hanya digunakan pada musim pilihan raya saja.

“Golongan ulama sepatutnya diberi keutamaan untuk kepentingan masyarakat Islam dan bukan hanya meraih undi pada pilihan raya umum nanti semata-mata,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengumumkan bahawa BN akan menampilkan tokoh ulama pada pilihan raya umum nanti.

Mohd Syamsul yang juga aktivis Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (UMMATI) berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan sedemikian disebabkan kepemimpinan PAS Kelantan kini mula bimbang apabila sebahagian besar ulama pondok di negeri ini sudah tidak lagi menyokong parti itu.

Ulama tinggalkan PAS

“Golongan ulama ini pada Pilihan Raya Umum 2008, membantu PAS memenangi pilihan raya umum, namun kini sudah meninggalkan perjuangan parti itu kerana perjuangan mereka tidak betul.

“Orang PAS kini sebahagian besar sudah buta hati disebabkan pemimpin mereka sudah menanam sikap taksub terhadap parti dalam kalangan pengikut, sehingga menuduh segala yang buruk adalah dari UMNO belaka,” katanya.